SISA pesawat Jeju Air yang terbakar. FOTO Reuters.
Seoul: Nahas pesawat membawa 181 penumpang dan kru yang terbakar selepas keluar dari landasan dan melanggar tembok sebuah lapangan terbang di Korea Selatan, berkemungkinan menyebabkan semua maut kecuali dua orang.
Agensi Berita Yonhap yang memetik pihak berkuasa berkata, kemalangan berlaku pada jam 9.07 pagi (waktu tempatan) apabila pesawat Jeju Air terkeluar dari landasan ketika mendarat dan melanggar tembok pagar di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan di Wilayah Jeolla Selatan, kira-kira 288 kilometer barat daya Seoul.
Kecuali dua yang terselamat, semua individu yang hilang dianggap terbunuh, kata bomba, sambil menambah bahawa mereka beralih kepada operasi mencari mayat mangsa.
Setakat ini, pihak berkuasa mengesahkan 85 kematian akibat kemalangan itu.
Seorang penumpang dan seorang anak kapal, kedua-duanya wanita diselamatkan sejurus selepas kemalangan dan sedang dirawat di sebuah hospital di Mokpo.
Seramai 181, termasuk enam anak kapal, berada di dalam pesawat itu yang pulang dari Bangkok.
Kebanyakan penumpang adalah warga Korea, kecuali dua warga Thailand.
Video yang disiarkan oleh stesen TV tempatan menunjukkan pesawat itu cuba mendarat tanpa peralatan pendaratan digunakan.
Pesawat itu terbabas di atas tanah, merempuh dinding konkrit sebelum meletup dan terbakar. Pesawat itu hampir musnah sepenuhnya akibat letupan.
Pihak berkuasa Jeolla Selatan menaikkan amaran kecemasan ke peringkat tertinggi dan mengerahkan semua anggota penyelamat dan polis ke lokasi kemalangan.
Pegawai percaya kegagalan gear pendaratan mungkin disebabkan oleh pelanggaran burung, yang mendorong kemalangan berlaku. Siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengetahui punca sebenar.
Pemangku Presiden, Choi Sang-mok tiba di lokasi nahas sekitar tengah hari dan mengarahkan pasukan penyelamat melakukan operasi sebaik mungkin.
Choi turut merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga mangsa dan memberi jaminan menghulur semua bantuan diperlukan kepada mereka.
Pejabat presiden juga akan mengadakan mesyuarat tergempar pegawai kanan pada 11.30 pagi untuk membincangkan tindakan susulan nahas pesawat itu dan mesyuarat akan dipengerusikan oleh Ketua Staf Presiden, Chung Jin-suk.
Pemangku Pesuruhjaya Jeneral Agensi Polis Kebangsaan Lee Ho-young turut mengarahkan pegawai untuk menggerakkan semua sumber yang ada dan bekerjasama dengan pihak bomba dan agensi berkaitan lain untuk membantu usaha menyelamat.
Disiarkan pada: Disember 29, 2024
|