
See menyokong Kempen Go Bald SCCS pada Ahad depan (11 Januari) dengan turut serta mencukur kepalanya pada acara itu nanti.
KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lintang, See Chee How akan mencukur kepalanya bagi mengumpul dana sebagai menyokong Kempen Go Bald Kesatuan Kanser Kanak-Kanak Sarawak (SCCS).
Kempen tersebut dijadual berlangsung pada Ahad depan (11 Januari) di aras bawah Aeroville Mall di sini.
“Keluarga dan rakan yang dihormati, saya akan mencukur kepala saya untuk mengumpul dana membantu kanak-kanak melawan kanser,” umumnya di Facebooknya baru-baru ini.
Wakil rakyat tidak berparti itu menyasarkan untuk mengumpul RM60,000 bagi mencapai sasaran RM1 juta oleh SCCS.
Berdasarkan maklumat, SCCS merekodkan jumlah perbelanjaan RM2.02 juta tahun lepas.
Sejak 2001, SCCS telah menyokong 1,656 keluarga dalam perjalanan memerangi kanser mereka, 897 daripadanya berasal dari selatan Sarawak manakala 353 lagi dari wilayah utara, 350 (wilayah tengah) dan 56 (lain-lain).
Menurut SCCS, seramai 62 kanak-kanak di Sarawak disahkan menghidap kanser tahun lepas dengan 21 kanak-kanak meninggal dunia akibat kanser.
Selain itu, SCCS menyokong 150 hingga 200 keluarga dengan kanak-kanak kanser setiap tahun.
Antara sokongan disediakan SCCS tahun lepas subsidi RM177,753 bagi ubat-ubatan, ujian makmal, peralatan perubatan dan naik taraf wad.
Perkhidmatan sokongan lain termasuk 51 keluarga menerima subsidi kewangan bulanan berjumlah RM109,070, perbelanjaan bagi 382 perjalanan ke hospital untuk 44 keluarga luar bandar, agihan 438 lampin kepada 45 kanak-kanak dan penginapan bagi 37 keluarga di rumah tumpangan SCCS.
|