
Ding bersama kanak-kanak tabika dan taska diraikan pada Program Pintar Kreatif dan Majlis Konvokesyen Tabika Perpaduan Bahagian Sarikei 2024/2025 semalam.
BINTANGOR: Pendidikan awal di peringkat tabika dan taska amat penting bagi memberi pendedahan kepada kanak-kanak berkaitan alam persekolahan yang bakal mereka harungi apabila dewasa.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong Datuk Ding Kuong Hiing berkata pendedahan awal itu membentuk kanak-kanak menjadi insan berilmu, berdaya saing, berakhlak mulia serta menghormati ibu bapa dan masyarakat.
"Kita berharap ibu bapa dapat bersama mendidik dan membentuk kanak-kanak agar mereka dapat menempuhi peredaran zaman yang penuh mencabar ini.
"Usaha dan komitmen semua pihak menggembleng tenaga meningkatkan mutu dan kualiti pembelajaran bagi mencapai objektif ditetapkan oleh kerajaan," katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Pintar Kreatif dan Majlis Konvokesyen Tabika Perpaduan Bahagian Sarikei 2024/2025 di sini semalam.
Pada majlis itu, terdapat 11 buah Kelas Tabika Perpaduan Bahagian Sarikei dan satu Taska Perpaduan Bahagian Sarikei terlibat.
Ding berkata, seramai 97 kanak-kanak terlibat dalam konvokesyen ini sangat bermakna bagi kanak-kanak kerana secara tidak langsung dapat membentuk dan memberi semangat positif kepada mereka.
"Program ini merupakan salah satu langkah memberi penghargaan kepada kanak-kanak terhadap usaha dan kejayaan mereka perolehi sepanjang tahun lalu," jelasnya.
Ding turut menyalurkan geran khas bernilai RM10,000 kepada Pejabat Perpaduan Bahagian Sarikei untuk menjalankan aktiviti tahunan pada 2025.
Hadir sama Pegawai Perpaduan Bahagian Sarikei Erma Farida Yusuf dan Pengerusi Pengelola Hari Konvokesyen Tabika Perpaduan Bahagian Sarikei dan Taska Genius Perpaduan Bahagian Sarikei Sesi 2024/2025 Selimah Morsidi.
|