
Iskandar (tiga kanan) menerima cenderamata daripada pihak Tadika Bestari Bintulu pada majlis tersebut hari ini.
BINTULU: Penghargaan diberikan kepada warga pendidik dan ibu bapa serta anak-anak amat penting atas komitmen penuh dalam usaha melonjak kecemerlangan pendidikan awal kanak-kanak di bahagian ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak Iskandar Turkee berkata kepentingan pendidikan awal adalah sebagai persediaan anak-anak sebelum menghadapi alam persekolahan sebenar pada masa depan.
Justeru katanya, sokongan berterusan kerajaan serta semua pihak dalam sektor pendidikan awal kanak-kanak amat wajar dihargai.
"Kita perlu memastikan pendidikan awal kanak-kanak terus diperkasa untuk masa depan kanak-kanak terbabit," katanya berucap pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Ke-23 Tadika Bestari Bintulu di Dewan Kuliah Pusat 2A, Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) di sini hari ini.
Pada masa sama, beliau menghargai pengurusan dan warga pendidik tadika terbabit terus cemerlang setanding dengan tadika swasta lain sepanjang 23 tahun penubuhannya.
Katanya, pelbagai cabaran telah ditempuhi namun usaha gigih warga pendidik dan sokongan ibu bapa menjadikan tadika ini sebagai pilihan utama masyarakat setempat.
"Justeru, pengiktirafan dan penghargaan pada majlis ini bagi memastikan tadika ini dapat menyediakan pendidikan awal yang berkualiti," jelasnya.
Katanya, ia berdasarkan misi Tadika Bestari terus komited dalam memartabatkan pendidikan awal kanak-kanak selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
|