
Abang Johari bersama yang lain ketika melawat Pusat Servis Sarawak di UTC Kuching hari ini. - Gambar Roystein Emmor
KUCHING: Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) tidak akan diberikan secara wang tunai, sebaliknya melalui sistem baucar digital bagi memastikan bantuan itu digunakan sepenuhnya untuk membeli keperluan asas.
Menurut Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, penggunaan baucar digital menerusi aplikasi e-dompet, SPAY Global adalah pendekatan terbaik berbanding pemberian wang tunai kepada penerima.
“Sejak mengumumkan penggunaan aplikasi SPay Global, saya menerima banyak pertanyaan. Ada yang bertanya kepada saya, mengapa kita menggunakan baucar sebagai bentuk bantuan dan tidak memberikan wang tunai sahaja?
“Sebenarnya, kita sudah menilai cara-cara ini dan saya melihat bahawa jika bantuan diberikan secara tunai, ada kemungkinan wang tersebut tidak akan digunakan untuk keperluan yang sepatutnya seperti membeli beras,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Pusat Servis Sarawak di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kuching di sini, hari ini.
Berdasarkan pengalaman dalam pemberian bantuan sebelum ini termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang disalurkan secara tunai, Abang Johari berkata, ramai penerima didapati tidak menggunakannya untuk keluarga sebaliknya membeli barang untuk diri sendiri.
"Begitu juga bantuan baucar, didapati ada yang menukarkannya dengan wang tunai apabila menjualnya kepada pihak tertentu dan kemudian menggunakan wang itu untuk perkara lain," katanya.
Justeru, Abang Johari berkata, dengan menggunakan baucar digital, ia dapat memastikan penerima memanfaatkan bantuan tersebut dengan lebih efektif khususnya untuk membeli barang yang benar-benar diperlukan.
“Sebab kedua pula (menggunakan baucar digital), rakyat Sarawak jika sudah pandai maka tidak perlu diajar lagi.
“Contohnya, sewaktu pandemik COVID-19 di mana pengguna membeli barang secara dalam talian. Ini bermakna jika sistem sudah berada di situ, bermakna ia menjadi popular.
“Sebab itu saya meminta pihak Residen, Pegawai Daerah, pihak berkuasa tempatan (PBT), setiausaha politik untuk datang turun padang dan membantu kerana apabila sistem sudah ada, maka sudah tidak ada masalah lagi,” jelasnya.
Langkah itu katanya, sejajar dengan usaha kerajaan memperkenalkan sistem lebih telus, mudah dipantau dan meminimumkan kemungkinan penyalahgunaan bantuan.
Mengenai isu ramai penduduk luar bandar terutama warga emas tiada telefon pintar serta tidak tahu cara mendaftar untuk mendapatkan SKAS pula, Abang Johari berkata, jentera pentadbiran akan digerakkan di seluruh Sarawak bagi membantu pelaksanaan bantuan itu.
“Ini termasuk semua Residen dan Pegawai Daerah, PBT, Pusat Servis Sarawak dan lain-lain jentera pentadbiran,” ujarnya.
Hadir sama pada lawatan itu ialah Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan tetamu kehormat lain.
|