Edited by Vellfire at 7-1-2025 02:25 AM

Orang ramai menyerbu kaunter untuk mengambil nombor giliran sebelum mengaktifkan pendaftaran SPay Global dan Sarawak ID.
KUCHING: Pusat pendaftaran Sarawak Pay (S Pay) Global di pusat beli-belah CityOne terus menjadi tumpuan orang ramai bukan sahaja daripada masyarakat kota malah turut diserbu mereka yang datang dari luar bandar seperti dari Lundu, Samarahan, Sri Aman malah dari Saratok.
Tujuan mereka satu sahaja, hanya mahu mengaktifkan perkhidmatan S Pay Global selain mendaftar Sarawak ID untuk melayakkan mereka menerima bantuan e-wallet daripada Kerajaan Sarawak seperti yang diumumkan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam pembentangan Belanjawan Negeri 2025 pada Persidangan idang Dewan Undangan Negeri Sarawak baru-baru ini.
Tinjauan Utusan Borneo ke tingkat satu pusat beli-belah itu seawal jam 8.30 pagi yang menempatkan pejabat S Pay Global di Kuching mendapati orang ramai sudah penuh berbaris dalam empat barisan untuk mendapatkan nombor giliran sebelum ke kaunter penyemakan, pengaktifan dan pendaftaran S Pay Global serta Sarawak ID.
Pemerhatian awal mendapati orang ramai berasak-asak bagi mendapatkan satu daripada 150 angka giliran yang diperuntukkan dalam sehari hingga keadaan seakan tidak terkawal.
Orang awam yang ditemui melahirkan rasa kesal dan terkilan dengan sistem pendaftaran e-wallet tersebut yang menurut mereka sangat tidak mesra bukan sahaja kepada warga emas, ibu mengandung, orang kurang upaya (OKU) malah golongan belia.
ABDUL AZULAH
Bagi Abdul Azulah, 30-an, dari Kampung Melango, Saratok, sepatutnya cara pengagihan dipermudahkan yakni dengan memasukkan bantuan secara tunai ke dalam akaun bank atau sistem baucar penerima.
"Kerajaan sepatutnya tidak hanya fokus kepada penggunaan S Pay Global sahaja sebaliknya mempelbagaikan cara tebus guna e-tunai misalnya dalam aplikasi Touch n Go dan Boost selain wang tunai (bank) dan penebusan baucar," katanya yang datang ke Kuching dari Saratok bersama isteri dan anak semata-mata mahu mengaktifkan Sarawak ID kerana telah disekat.
Ini katanya, bertujuan memberi alternatif lain kepada penerima bantuan yang mungkin menghadapi masalah teknikal dengan SPay Global atau mereka yang lebih selesa dengan platform lain.
Tambah Abdul Azulah, dia sangat menghargai bantuan kerajaan ini kerana memahami masalah rakyat dalam urusan perbelanjaan harian namun mahu agar setiap bantuan yang hendak disalurkan kelak dipermudahkan urusan penuntutan.
"Kita harus faham bahawa bukan semua orang memiliki telefon canggih untuk sebarang urusan pendaftaran.
“Itu belum termasuk masalah liputan Internet yang sangat lemah di luar bandar," katanya dan menambah ada orang terpaksa ponteng kerja gara-gara mahu mengaktifkan S Pay mereka.
Pendapat beliau disokong Mohd Iwan, 27, dari Matang, yang menurutnya terpaksa berbaris panjang hanya untuk menukar nombor telefon bagi urusan pengemaskinian pendaftaran dalam Sarawak ID miliknya.
"Ini sesuatu yang tidak patut berlaku...sangat membuang masa. Harapan saya agar jika ada bantuan sama pada masa depan, perlu diagih secara tunai melalui bank sebagaimana agihan STR atau BR1M sebelum ini," katanya.
Beliau yang turut berterima kasih kepada Abang Johari kerana menyediakan dana besar untuk pengagihan bantuan ini, berharap pihak berkaitan dapat menyediakan saluran khas kepada warga emas yang turut berbaris panjang semata-mata mahu mengaktifkan S pay dan Sarawak ID mereka.
RONNY
Ronny Anyut, 47, dari Sri Aman pula berharap kerajaan mengkaji semula cara pengagihan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) yang mewajibkan penerima wajib mendaftar dalam S Pay Global kerana ia ternyata menyusahkan orang ramai.
"Kita kena terima hakikat bahawa banyak penerima akan tercicir walaupun layak kerana bukan semua boleh berkunjung ke pejabat S Pay ini atau UTC berhampiran kerana masalah logistik dan pengangkutan.
"Sebagai orang yang datang dari luar bandar, saya amat memahami keluh kesah pemohon yang akan tercicir semata-mata tidak tahu memohon kerana buta IT, tiada saluran bantuan mengisi S Pay selain capaian Internet tiada di luar bandar," katanya.
Justeru, menurut Ronny yang datang bersama rakan yang turut mengalami masalah pendaftaran S Pay Global berharap kerajaan memudah cara agihan bantuan sama ada secara tunai di bank atau baucar seperti sebelumnya.
"Jika masalah teknikal S Pay Global ini tidak diselesaikan segera, ia mungkin akan terus memberi kesulitan pada masa akan datang," tegasnya.
HASFIAH
Hasfiah Ibrahim, 30-an, juga berpendapat kerajaan perlu mencari kaedah terbaik dalam menyalurkan bantuan kepada rakyat di negeri ini.
"Kita bukan mahu mengutuk kerajaan malah sangat berterima kasih dengan penyaluran bantuan SKAS yang diumumkan Premier kita pada pembentangan DUN baru-baru ini," katanya.
"Namun yang mahu kita persoalkan ialah mengapa mahu menyukarkan penyaluran bantuan walhal kita banyak alternatif memudah cara agihan seperi tunai di bank, baucar atau menambah aplikasi sedia ada selain SPay Global yang mencetuskan polemik di kalangan rakyat negeri ini," katanya.
"Kebergantungan ini menyukarkan penerima bantuan untuk mengakses sumbangan tersebut khususnya bagi mereka yang terlupa maklumat peribadi semasa mendaftar. "Kita tidak mahu program murni ini disalah tafsir oleh pihak tidak bertanggungjawab konon menyusahkan rakyat.
“Namun jika dilihat memang menyusahkan semua apabila semua warga emas, OKU, wanita mengandung dan golongan belia berasak-asak untuk mendapatkan nombor giliran pagi ini.
"Ketika kita mula bimbang dengan penularan wabak HMPV, pastinya senario hari ini, semalam dan hari-hari mendatang membuatkan kita berfikir sejenak adakah kita berada dalam situasi selamat hanya kerana mahu mengaktifkan S Pay Global dan Sarawak ID," soalnya.
Tambahnya, bukan mahu mengkritik agensi pelaksana namun kita berharap mereka patut bersedia menerima limpahan orang awam dan bukan berasak-asak seperti hari ini.
"Sepatutnya diwujudkan barisan untuk warga emas, wanita mengandung dan kanak-kanak selain orang dewasa dan tidak bercampur-aduk seperti yang ada sekarang hingga menyebabkan mereka berasak dan berhimpit antara satu sama lain," tegasnya.
|