
Aishah menyerahkan cenderamata kepada Awang Yusuf selepas sesi kunjungan hormat di Pejabat Daerah Lundu hari ini.
KUCHING: Jabatan Penerangan (JAPEN) Daerah Lundu komited untuk memperkasa usaha penyaluran maklumat kerajaan kepada rakyat.
Hal ini dinyatakan oleh Pegawai Penerangan Lundu Aishah Latip selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Pegawai Daerah Lundu Awang Yusuf Awang Mostapha di sini hari ini.
Kunjungan hormat yang diadakan selama satu jam itu merupakan kunjungan pertama Aishah selaku Pegawai Penerangan Daerah Lundu yang bertujuan memaklumkan mengenai aktiviti, kerjasama dan penglibatan JAPEN Daerah Lundu dalam memberi perkhidmatan kepada masyarakat Lundu amnya, selaras dengan hala tuju yang ditetapkan oleh pengurusan JAPEN dan Kementerian Komunikasi.
Selain itu, ia juga dapat menjalinkan perhubungan yang lebih erat serta berkongsi pendapat dan pengalaman bagi meningkatkan lagi tadbir urus jabatan di samping sesi suai kenal bersama Pegawai Daerah Lundu.
Turut hadir ialah Pegawai Tadbir Monalissa Mariah Brain.
|