Operasi kesan tiga nelayan hilang diteruskan hari ini
Oleh Zuliaty Zulkiffli - Januari 12, 2025 @ 10:17am [email protected]
Gambar hiasan
ALOR SETAR: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) untuk mengesan tiga nelayan yang dikhuatiri hilang sejak kelmarin, diteruskan semula pada jam 7.30 pagi tadi.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kedah & Perlis, Romli Mustafa, berkata operasi SAR hari ini membabitkan aset bot Maritim Malaysia, pasukan marin Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dengan keluasan sektor pencarian sejauh 51.48 batu nautika persegi.
"Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) ditubuhkan di Pusat Operasi Maritim Kedah & Perlis. Setakat ini belum ada sebarang petunjuk atau maklumat berkaitan ketiga-tiga nelayan terbabit," katanya di sini hari ini.
Media semalam melaporkan, tiga nelayan termasuk dua beranak dikhuatiri hilang selepas tidak pulang ke pangkalan daripada melakukan aktiviti menangkap ikan menggunakan pukat rawai, sejak petang kelmarin.
Ketiga-tiga mereka, Asrulhisham Zainon, 47, dan anaknya, Mohd Aiman Asrulhisham, 17, serta rakan mereka dikenali sebagai Mohd Amin, dipercayai keluar menangkap ikan di sekitar kedudukan 10.9 batu nautika barat Pulau Payar.
Semalam, Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Noor Azreyanti Ishak berkata, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi menerima panggilan telefon daripada anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda memaklumkan laporan kehilangan yang dibuat adik kepada seorang daripada mangsa.
Beliau berkata, bertindak daripada laporan diterima, MRSC Langkawi mengaktifkan operasi SAR dan mengatur gerak bot PERKASA 1224 ke lokasi aduan untuk melakukan pencarian.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2025/01/1348191/operasi-kesan-tiga-nelayan-hilang-diteruskan-hari-ini
|