TANGKAP layar video Metro UK menunjukkan telur bentu sfera ditemui Alison Greene yang akan dilelong di Exeter, United Kingdom.
London: Penemuan satu dalam berbilion. Gambaran itu diberikan pekerja ladang di Devon, England apabila menemui telur berbentuk sfera.
Alison Greene yang tiga tahun bekerja sebagai pengendali telur di Ladang Fenton dekat sempadan Somerset dan mengendalikan lebih 42 juta telur berkata, dia tidak pernah menemui telur yang berbentuk bulat tepat sebelum ini.
Wanita berusia 57 tahun itu merancang untuk menghantarnya ke pusat lelongan di Exeter pada Mac ini, dengan hasilnya dirancang untuk disumbangkan kepada badan amal Krisis Rogol Devon.
"Ia benar-benar mengejutkan kerana telur (bentuk bujur) berguling dengan cara tertentu, tetapi yang ini tidak.. ia begitu menonjol. Bukan sesuatu yang dimiliki ramai orang," katanya.
Greene yang menemui telur itu pada Disember lalu, berharap ia akan dilelong pada harga tinggi.
Brian Goodison-Blanks, kakitangan premis lelongan Bearnes Hampton & Littlewood Auctioneers yang berpangkalan di Exeter berkata, penemuan telur ayam sfera agak luar biasa.
"Ada orang sanggup membayar 100 Pound Sterling (kira-kira RM548) dan kadangkala 200 Pound Sterling (kira-kira RM1,096) untuknya," katanya.
Bulan lalu, telur ayam sfera yang tidak sengaja dibeli seorang lelaki, dijual dalam lelongan di Berkshire pada harga 200 Pound Sterling (kira-kira RM1,096).
Ed Pownell dari Lambourn di Berkshire membayar 150 Pound Sterling (kira-kira RM822) untuk telur itu dan kemudian mendermakannya kepada Yayasan Iuventas, sebuah badan amal yang memberi bimbingan hidup dan sokongan kesihatan mental kepada golongan muda di seluruh Oxfordshire.
Telur milik Pownell pada asalnya ditemui dalam kotak yang dibeli oleh seorang wanita dari pasar raya tempatan di Ayr dan diserah kepada badan amal terbabit yang awalnya menganggap sumbangan itu sebagai 'gurauan'.
"Kami gembira dan teruja kerana telur ini dapat dilelong, yang bawa makna kami boleh terus laksana kerja amal kami," kata wakil badan amal itu, Roz Rapp kepada BBC.
Sebelum ini pada 2015, telur ayam sfera terjual di eBay pada harga 480 Pound Sterling (RM2,632).
|