Seorang wanita dan kanak-kanak melihat abu gunung berapi yang naik ke udara semasa letusan Gunung Ibu, di Kampung Duono di Halmahera Barat, wilayah Maluku Utara. FOTO AFP
Ternate, Indonesia: Sebuah gunung berapi di timur Indonesia telah meletus sekurang-kurangnya 1,000 kali bulan ini, menurut laporan rasmi ketika usaha sedang dijalankan untuk memindahkan beribu-ribu penduduk kampung yang tinggal berhampiran gunung itu.
Gunung Ibu, di pulau terpencil Halmahera di wilayah Maluku Utara, menghamburkan abu sehingga empat kilometer ke langit dalam satu letusan pada Rabu.
Pegawai Indonesia menaikkan status berjaga-jaga ke tahap tertinggi dan menggesa pemindahan 3,000 orang yang tinggal di enam kampung berdekatan.
Ia adalah satu daripada 1,079 letusan oleh gunung berapi yang direkodkan sejak 1 Januari oleh Agensi Geologi Indonesia, menyebabkan abu mencapai antara 0.3 dan 4 kilometer di atas puncaknya, menurut data agensi yang dikumpul oleh AFP.
Letusan besar terbaru berlaku pada Ahad jam 1.15 pagi waktu tempatan ketika ia memuntahkan debu yang menjulang 1.5 kilometer ke udara.
"Abu itu berwarna kelabu, dengan intensiti sederhana hingga tebal, hanyut ke barat daya. Bunyi gemuruh yang kuat kedengaran sehingga ke Pos Pemerhatian Gunung Ibu," kata agensi itu dalam satu kenyataan.
Ia menambah bahawa gunung berapi itu telah meletus sebanyak 17 kali pada hari Ahad sahaja.
Walaupun memutuskan untuk memindahkan penduduk kampung yang terjejas, pihak berkuasa tempatan hanya berjaya memindahkan 517 penduduk setakat Ahad, berjanji untuk memujuk mereka yang masih tinggal berpindah ke tempat perlindungan.
Ramai yang enggan berpindah, dengan alasan mereka sudah biasa dengan keadaan itu dan berada dalam musim menuai.
"Mungkin ada pertimbangan ekonomi, kerana ramai penduduk sedang menuai hasil tanaman. Bagaimanapun, kita akan terus mendidik masyarakat dan menggalakkan mereka berpindah," kata Adietya Yuni Nurtono, panglima tentera daerah Ternate yang bertanggungjawab ke atas pusat perlindungan yang selamat.
Gunung Ibu, salah satu gunung berapi paling aktif di Indonesia, telah menunjukkan peningkatan aktiviti yang ketara sejak Jun lalu.
Penduduk yang tinggal berhampiran Gunung Ibu dan pelancong dinasihatkan supaya mengelak zon terkecuali sepanjang lima hingga enam kilometer di sekitar puncak gunung berapi dan memakai pelitup muka.
Sehingga 2022, kira-kira 700,000 orang tinggal di pulau Halmahera, menurut data rasmi.
|