FOTO fail menunjukkan antara pesawat JetBlue. FOTO AFP
Washington: Suami isteri yang tinggal di Los Angeles memfailkan saman AS$1 juta (kira-kira RM4.4 juta) kepada syarikat penerbangan Amerika Syarikat (AS), JetBlue selepas ketulan ais didakwa jatuh dari pesawat ke bumbung rumah mereka, Januari tahun lalu.
The Straits Times melaporkan, bongkah ais bersaiz tembikai itu dilaporkan jatuh beberapa inci dari katil pasangan itu dalam kejadian kira-kira 8 malam, pada 1 Januari 2024.
Insiden itu menyebabkan kerosakan fizikal bernilai kira-kira AS$360,000 (kira-kira RM1.6 juta).
Pasangan berkenaan terpaksa berpindah ke tempat baharu kerana mereka bimbang kejadian berulang disebabkan bilangan pesawat yang kerap melalui rumah mereka, dengan purata satu dalam setiap lima minit.
Rumah pasangan itu terletak di Inglewood, pinggir bandar di sebelah timur Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles.
Berikutan kejadian itu, Michael Reese dan isteri, Leah Ferrarini memfailkan tuntutan di mahkamah, lapor Independent.
"Oleh kerana mereka tidak lagi berasa selamat di rumah akibat kejadian itu, plaintif terpaksa berpindah dari rumah impian mereka dan mencari tempat tinggal lain dengan menanggung kos besar," kata aduan itu, yang difailkan pada bulan ini.
Pasangan itu juga menuntut AS$300,000 (kira-kira RM1.3 juta) lagi untuk tekanan emosi; AS$300,000 (kira-kira RM1.3 juta) untuk kesakitan, penderitaan dan kesulitan; dan AS$40,000 (kira-kira RM177,650) untuk perbelanjaan perubatan semasa dan akan datang.
Dalam tuntutan sama, pasangan itu mendakwa mereka tidak lagi boleh tidur dengan selesa tanpa memikirkan kejadian dan mengalami insomnia yang berterusan.
Disiarkan pada: Januari 23, 2025
|