Paramedik kelihatan hadir ke tempat kejadian tikaman berganda di hadapan Stesen JR Nagano di Nagano, wilayah Nagano, tengah Jepun. Foto AGENSI
TOKYO: Seorang lelaki menikam tiga individu di stesen kereta api di tengah Jepun semalam sebelum pelakunya melarikan diri dari tempat kejadian, menyebabkan seorang maut, lapor media tempatan.
Serangan berlaku pada kira-kira jam 8 malam waktu tempatan di luar Stesen JR Nagano, kata agensi berita Kyodo dan Jiji dengan polis masih berusaha menjejaki penyerang.
Ketiga-tiga mangsa sedang menunggu di perhentian bas dan serangan disasarkan secara rambang, lapor Kyodo, memetik sumber penyiasatan.
Menurut laporan, lelaki yang maut berusia 49 tahun, manakala seorang lagi mangsa lelaki berusia 30-an mengalami kecederaan serius.
Mangsa ketiga yang cedera adalah seorang wanita berusia 30-an. Nagano, ibu negeri Prefektur Nagano terletak sekitar 225 kilometer ke barat Tokyo dan menjadi destinasi popular di Jepun bagi sukan musim sejuk. - AFP
Disiarkan pada: Januari 23, 2025
|