Pelajar menikmati hidangan disediakan di bawah program makanan percuma berkhasiat di sebuah sekolah di Jakarta, Indonesia. - Foto REUTERS
JAKARTA: Program makanan percuma Indonesia telah menjangkau 650,000 kanak-kanak sekolah di 31 wilayah, menurut Presiden Prabowo Subianto, lapor Xinhua.
"Mulai Januari hingga April 2025, program ini menyasarkan tiga juta kanak-kanak. Menjelang April hingga Ogos 2025, ia akan mencapai enam juta kanak-kanak.
"Pada September, kami berharap dapat menampung 15 juta kanak-kanak dan menjelang akhir 2025, matlamat kami adalah untuk semua kanak-kanak Indonesia menerima makanan berkhasiat.
"Ini adalah isu strategik. Kami mengukuhkan masa depan Indonesia. Kanak-kanak Indonesia mestilah kuat, bijak, bersemangat dan mampu bersekolah dengan berkesan," kata Prabowo semasa sesi Kabinet pleno di Pejabat Presiden pada Rabu.
Beliau juga percaya dalam masa terdekat, akan nampak peningkatan prestasi akademik anak-anak di Indonesia.
Program yang bermula pada 6 Januari itu dijangka meluaskan skopnya untuk melibatkan bukan sahaja pelajar tetapi juga wanita hamil, ibu menyusu dan kanak-kanak di bawah umur lima tahun.
|