TINJAU: Annuar bersama rombongan mengadakan lawatan ke sepanjang jalan di Kampung Keritan, Senagang Ulu, dan Senagang Lama yang ketika ini sedang melaksanakan kerja-kerja pembinaan jalan.
KENINGAU: Usaha menaik taraf infrastruktur jalan di kawasan luar bandar terus menjadi keutamaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman bagi membawa kesejahteraan kepada rakyat di kawasannya.
Annuar semasa mengadakan lawatan ke Kampung Keritan, Senagang Ulu, dan Senagang Lama berpuas hati melihat kerja-kerja pembinaan jalan yang ketika ini sedang berjalan dengan lancar.
Katanya, jalan-jalan terbabit sebelum ini berada dalam keadaan yang kurang memuaskan dan sering menjadi isu utama yang dibangkitkan oleh penduduk tempatan sebelum beliau menjadi wakil rakyat.
BERMESRA: Annuar meluangkan masa bertemu dengan rakyat semasa meninjau kerja pembinaan jalan Kampung Keritan, Senagang Ulu, dan Senagang Lama.
"Dahulu, keadaan jalan ini adalah antara cabaran terbesar yang memerlukan perhatian segera. Hari ini, melihat kerja-kerja naik taraf sedang giat dijalankan memberi saya satu kepuasan sebagai seorang pemimpin.
"Ia adalah satu nikmat kerana akhirnya kita berjaya membawa pembangunan yang sewajarnya kepada rakyat," katanya.
Projek itu, katanya, bukan sahaja bertujuan meningkatkan kemudahan asas penduduk, tetapi juga mampu membuka peluang ekonomi baharu serta memperbaiki kualiti hidup masyarakat setempat yang majoritinya adalah pekebun dan penternak.
"Naik taraf infrastruktur seperti jalan ini bukan sekadar menyelesaikan isu keperluan asas, tetapi juga memberi impak langsung kepada kegiatan ekonomi. Dengan jalan yang baik, akses kepada pasaran dan perkhidmatan menjadi lebih mudah untuk para pekebun dan penternak di kawasan ini," katanya.
NAIK TARAF: Kerja-kerja pembinaan jalan di Kampung Keritan, Senagang Ulu, dan Senagang Lama yang ketika ini sedang berjalan dengan lancar.
Beliau turut menekankan bahawa kejayaan pelaksanaan projek ini adalah hasil daripada kerjasama erat antara kerajaan, agensi pelaksana, dan sokongan rakyat.
"Saya ingin mengucapkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, termasuk kontraktor dan agensi kerajaan, atas dedikasi mereka dalam memastikan projek ini berjalan lancar. Saya berharap projek ini dapat disiapkan mengikut jadual dan memberi manfaat jangka panjang kepada penduduk setempat," katanya.
Annuar yang ditemani Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Liawan, Fred Toyong, dan Pegawai Kemajuan Masyarakat (CDO), Addy Adzra Jasni, turut memberi jaminan bahawa beliau akan terus komited membawa lebih banyak projek pembangunan untuk kawasan Liawan.
"Saya ingin memastikan kawasan ini terus mendapat perhatian dari segi pembangunan infrastruktur, khususnya yang melibatkan keperluan asas. Keutamaan kami adalah memastikan semua komuniti, termasuk di kawasan luar bandar, menikmati faedah pembangunan," katanya.
Projek itu sekali lagi mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam membangunkan kawasan luar bandar dan memastikan tiada komuniti yang ketinggalan daripada arus pembangunan negara.
|