Dhaka (Bangladesh): Seramai 7,964 pekerja Bangladesh, daripada kira-kira 18,000 yang proses migrasi mereka ke Malaysia tertangguh menjadi kumpulan pertama bakal memasuki negara Asia Tenggara itu, lapor United News of Bangladesh (UNB).
Kementerian Luar Bangladesh (MoFA) mengesahkan perkembangan ini semasa taklimat media mingguan pada Isnin.
Jurucakap MoFA Mohammad Rafiqul Alam berkongsi butiran mengenainya, dengan memaklumkan pada 5 Disember 2024, Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Malaysia mengadakan pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri Malaysia Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di Kuala Lumpur.
Pertemuan itu terutamanya membincangkan kelewatan yang berpanjangan dalam proses migrasi hampir 18,000 pekerja Bangladesh.
Semasa perbincangan, Saifuddin mencadangkan penubuhan Kumpulan Teknikal Bersama bagi mempercepatkan kemasukan pekerja secara berperingkat.
Kumpulan itu terdiri daripada wakil Jabatan Imigresen Malaysia dan Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh.
Selepas penubuhan kumpulan itu, dua mesyuarat diadakan pada 31 Disember 2024 dan 14 Januari 2025, apabila senarai lebih 17,000 pekerja disemak dan disahkan dengan pihak berkepentingan Malaysia.
Proses ini menghasilkan pemilihan 7,964 pekerja untuk kemasukan segera dalam fasa pertama, kata Mohammad Rafiqul.
Jurucakap itu turut berkata pekerja itu dianggap layak untuk perjalanan segera ke Malaysia.
Ditanya mengenai prosedur perjalanan untuk para pekerja ini, Mohammad Rafiqul berkata Jawatankuasa Teknikal Bersama sedang meneruskan perbincangan bagi memuktamadkan persiapan yang diperlukan.
|