Edited by Vellfire at 29-1-2025 05:19 PM
Tangkap layar rakaman video penduduk menunjukkan penempatan penduduk di Taman Jason Bintulu yang dilanda banjir menyaksikan banyak kenderaan ditenggelami air.
BINTULU: Keadaan banjir buruk melanda bahagian ini susulan hujan lebat berterusan dengan air pasang besar menyaksikan kediaman penduduk dinaiki air serta banyak kenderaan milik penduduk turut ditenggelami air.
Penduduk bukan sahaja meluahkan rasa kebimbangan yang amat dengan hujan lebat tanpa henti sejak malam tadi dan kerugian besar dialami dengan harta benda yang telah ditenggelami air.
Ramai di kalangan penduduk berkongsi dalam laman media sosial mengenai keadaan dan penempatan mereka yang dilanda banjir sekali gus amat berharap mendapat bantuan segera untuk menyelamat daripada agensi penyelamat dan pihak berkuasa berkaitan. Turut dikongsi adalah kejadian tanah runtuh dan tanah susur di kawasan Tanah Perkuburan Islam Kemunting di sini hari ini.
Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang mengingatkan semua penduduk di Bintulu supaya sentiasa berhati-hati kerana keadaan cuaca yang tidak menentu sekarang.
"Hujan lebat yang berterusan dan fenomena air pasang besar telah menyebabkan beberapa kawasan terjejas teruk (akibat banjir)," katanya di sini hari ini.
Katanya, beliau amat memahami kesukaran yang dihadapi oleh penduduk dan keluarga yang terkesan, dan amat berdukacita atas bencana ini.
Tangkap layar rakaman video penduduk menunjukkan penempatan penduduk di Taman Jason Bintulu yang dilanda banjir menyaksikan banyak kenderaan ditenggelami air.
"Sama-sama kita berdoa kepada Tuhan agar keadaan kembali pulih dan kita semua dilindungi daripada sebarang musibah," katanya. Pada masa sama Pang berkata, penduduk perlu sentiasa peka dengan keadaan sekeliling, utamakan keselamatan keluarga, dan patuhi arahan pihak berkuasa sekiranya memerlukan bantuan segera, sila maklumkan kepada pasukannya.
Sementara itu, pasukan tindak balas kecemasan meneruskan usaha memberikan bantuan kepada komuniti yang terjejas dan menguruskan situasi semasa.
Setakat 8.30 pagi, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak (SDMC) melaporkan 15 pusat pemindahan sementara dibuka di seluruh Sarawak, menempatkan 1,097 individu daripada 294 keluarga.
Di Bintulu, pusat pemindahan sementara telah dibuka pada jam 10 malam tadi di Pusat Sukan BDA Kidurong.
Ia kini menempatkan 109 individu daripada 33 keluarga yang dipindahkan dari penempatan setinggan Sungai Plan.
Manakala PPS Rumah Steven Jeli Tatau pula masih menempatkan 34 mangsa banjir daripada 13 keluarga.
Keadaan kawasan kediaman dan beberapa bahagian dalam tangkap layar video oleh kakitangan di Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB).
|