Edited by Vellfire at 29-1-2025 11:37 PM
Alexson (tengah) pada sidang media tengah hari tadi.
MIRI: Ketua Polis Daerah Miri Alexson Naga Chabu mengesahkan identiti mangsa terakhir dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Lereng Bukit di sini yang masih belum ditemui sehingga kini dikenali sebagai Fatimah Dawi, 71.
Menurut beliau, lokasi mangsa telah dikenal pasti berdasarkan maklumat yang diberi oleh suaminya.
"Lokasi (tertimbus) mangsa telah dikenal pasti berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada suaminya.
"Justeru, usaha untuk mengeluarkan mangsa kini giat dijalankan oleh pasukan penyelamat menggunakan dua buah jengkaut," katanya pada sidang media tengah hari tadi.
Menurut Alexson yang juga merupakan komander operasi bencana, seramai 12 mangsa terlibat dalam kejadian tanah runtuh yang berlaku sekitar jam 3 pagi tadi, membabitkan dua buah rumah yang terletak bersebelah.
"Daripada jumlah itu katanya, lima mangsa disahkan meninggal dunia termasuk seorang yang masih belum dijumpai, dua orang cedera dan bakinya selamat.
Usaha mencari seorang lagi mangsa yang masih tertimbus diteruskan.
"Mangsa yang cedera termasuk seorang yang dijumpai di tempat kejadian, manakala yang lain menyelamatkan diri sebelum runtuhan berlaku," ujar beliau lanjut.
Katanya, mayat mangsa pertama dijumpai jam 6 pagi tadi diikuti mayat kedua pada jam 10.40 pagi dan mayat ketiga serta keempat masing-masing jam 11.30 dan 11.40 pagi.
"Lokasi mayat keempat-empat mangsa dijumpai saling berdekatan dan ada yang bertindih di bahagian hadapan rumah akibat dibawa lumpur dari runtuhan atau gelinciran tanah yang berlaku di belakang rumah," katanya.
Dalam pada itu menurut beliau, pasukan penyelamat turut menghadapi kesukaran dalam melakukan operasi berikutan kawasan yang sempit.
Menurut Alexson, seramai 19 pegawai dan 85 anggota dari pelbagai agensi di Miri telah terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa yang digerakkan sejak awal pagi tadi.
Sementara itu katanya, terdapat dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka iaitu di Dewan Bulan Sabit Merah dan Dewan Pujut Tanjung Batu di sini.
Bagi Dewan Bulan Sabit Merah, terdapat 25 keluarga dengan 133 mangsa dari Kampung Lereng Bukit telah ditempatkan di situ dan 16 keluarga dengan 66 mangsa banjir ditempatkan di Dewan Pujut Tanjung Batu.
|