Joferi bersama isterinya menunjukkan keadaan penempatan mereka di RPR Sebiew Bintulu yang dilanda banjir hari ini.
BINTULU: Hujan lebat berterusan sejak malam tadi serta air pasang besar mengakibatkan air naik mendadak menenggelamkan kawasan-kawasan penempatan di Bintulu terutamanya di kawasan-kawasan rendah.
Keadaan itu dialami oleh penduduk di bahagian ini sehingga menyebabkan beberapa barang dalam rumah tidak dapat diselamatkan susulan ditenggelami air.
Seorang mangsa banjir dari Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) (SPPS) Sebiew, Joferi Turky berkata, beliau tidak menjangka keadaan banjir yang berlaku kali ini bertambah buruk.
"Mula-mula hujan lebat turun berterusan, namun berhenti seketika dengan tiba-tiba air naik mendadak," katanya kepada Utusan Borneo di sini hari ini.
Katanya, air mengalir deras masuk ke kawasan rumah penduduk di sini dari sistem perparitan yang kemungkinan tersumbat. Air melimpah memasuki rumah menenggelamkan barang-barang yang tidak sempat untuk dipindah dan dialihkan.
"Ada banyak barang yang ditenggelami air, namun beberapa barang penting berjaya diselamatkan dialih ke tempat tinggi," kata Joferi yang terus memantau keadaan rumah mereka di situ.
Dua motosikal ditempat atas meja di tempat tinggi bagi mengelak ditenggelami air.
Dalam pada itu, sebahagian penduduk terjejas dan ahli keluarganya di kawasan terbabit dipindahkan sementara di Sekolah Kebangsaan (SK) Bintulu di hadapan perumahan tersebut.
Keadaan seluruh Bintulu kini dilanda banjir buruk dengan hujan lebat masih turun berterusan setakat berita ini ditulis dan penduduk yang terjejas pula sebahagiannya dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di sini.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak (SDMC) melaporkan 15 pusat pemindahan sementara dibuka di seluruh Sarawak, menempatkan 1,097 individu daripada 294 keluarga.
Di Bintulu, pusat pemindahan sementara telah dibuka pada jam 10 malam tadi di Pusat Sukan BDA Kidurong.
Ia kini menempatkan 109 individu daripada 33 keluarga yang dipindahkan dari penempatan setinggan Sungai Plan.
Manakala PPS Rumah Steven Jeli Tatau pula masih menempatkan 34 mangsa banjir daripada 13 keluarga.
|