Kulai : Sebanyak 903 tong gas petroleum cecair (LPG) yang berisi dan kosong pelbagai jenama disita Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Johor dalam operasi di sebuah stor haram sekitar daerah ini, hari ini.
Pengarah KPDN Negeri Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, semua tong gas berkapasiti 14 kilogram (kg) dan 50 kg itu disita bersama beberapa dokumen dengan nilai rampasan dianggarkan mencecah RM80,000.
Menurutnya, semua tong LPG itu ditemui dalam sebuah stor haram itu.
"Hasil daripada pemeriksaan mendapati stor haram itu menyimpan LPG untuk tujuan aktiviti penyelewengan atau 'decanting' iaitu memindahkan gas dari tong berkapasiti 14 kg bersubsidi ke tong gas berkapasiti 50 kg untuk kegunaan industri.
"Pemeriksaan lanjut mendapati stor itu juga gagal untuk mengemukakan dokumen permit penyimpanan atau lesen barang kawalan berjadual LPG apabila diminta," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Menurut beliau, empat lelaki warga asing yang dipercayai pekerja stor dan semuanya berusia dalam lingkungan 30-an turut ditahan untuk membantu siasatan.
"Oleh yang demikian, satu tindakan kes telah dibuat di bawah Akta Kawalan
Bekalan (AKB) 1961 untuk mengenal pasti individu atau syarikat yang terlibat dalam aktiviti atau rantaian pengedaran LPG termasuklah sumber LPG diperolehi dan edaran mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab.
"Kes juga akan disiasat di bawah AKB 1961 kerana menyimpan barang kawalan tanpa lesen atau permit menyimpan yang sah," jelasnya.
Lilis Saslinda berkata, serbuan itu dibuat hasil aduan orang awam melalui inisiatif 'Kita Gempur' dan risikan yang dilakukan beberapa hari sebelum operasi dilancarkan.
|