Islamabad: Seorang YouTuber di Pakistan, baru-baru ini, diperintahkan mencipta 12 video kebajikan haiwan sebagai hukuman kerana memiliki anak singa secara haram.
Portal BBC melaporkan, Rajab Butt, yang mempunyai 5.6 juta pengikut, bergambar bersama anak singa itu selepas menerimanya sebagai hadiah ketika majlis perkahwinannya pada bulan lalu, daripada pemilik saluran YouTube lain.
Mengikut perintah khidmat masyarakat, Rajab diarahkan untuk menghasilkan video lima minit sekali sebulan selama setahun untuk mendidik penontonnya. Anak singa itu dipindahkan ke Zoo Safari Lahore oleh pihak berkuasa dan dinamakan Bhatti.
Dalam satu kenyataan, Rajab mengakui kesal kerana menerima anak singa itu dan mengakui bahawa memelihara haiwan liar dalam keadaan sedemikian adalah tidak wajar.
"Sebagai pempengaruh media sosial, saya harus mencipta kandungan positif. Saya tidak diberi kuasa untuk memelihara anak singa itu dan menunjukkan contoh yang salah dengan berbuat demikian," katanya seperti dilaporkan BBC.
Mahkamah juga memerintahkan jabatan hidupan liar untuk membantu Rajab menghasilkan video berkenaan.
Seorang pegawai hidupan liar melaporkan Rajab kepada polis selepas melihat video yang dimuat naik di saluran YouTubenya pada bulan lalu, yang menunjukkannya menerima anak singa di majlis perkahwinannya.
Ia diberikan kepadanya dalam sangkar oleh Umar Dolla, yang mengendalikan saluran YouTube lain dikenali Lion Hub.
Dolla memberitahu kepada mahkamah bahawa dia masih pemilik sah haiwan itu.
Bagaimanapun hakim memutuskan haiwan itu kini dimiliki oleh Rajab, lapor media tempatan.
|