Jakarta: Sebuah bot laju yang membawa 16 penumpang karam di perairan Wilayah Kalimantan Utara, Indonesia, pada Rabu, mengorbankan empat orang manakala empat lagi masih hilang, lapor Xinhua yang memetik kenyataan pegawai kanan pasukan penyelamat tempatan.
Ketua Pejabat Mencari dan Menyelamat (SAR) Kalimantan Utara Syahril berkata bot itu tenggelam berhampiran perairan Daerah Kecil Sei Menggaris di Nunukan pada tengah hari Rabu selepas berlepas dari sebuah pelabuhan di ibu kotanya, Kota Nunukan.
"Empat mangsa disahkan maut, sementara lapan berjaya diselamatkan. Kami masih menjalankan operasi mencari empat lagi yang hilang," katanya kepada Xinhua menerusi panggilan telefon.
Menurutnya, mangsa yang terselamat telah dihantar ke hospital dan sebuah pos berhampiran pelabuhan untuk menerima rawatan.
Juragan bot berkenaan telah ditahan pihak berkuasa bagi membantu siasatan mengenai insiden itu, katanya.
Operasi mencari dan menyelamat sedang giat dijalankan dengan penglibatan pihak polis, tentera, pasukan SAR, agensi pengurusan bencana tempatan serta sukarelawan.
Menurut agensi pengurusan bencana tempatan, bot laju itu karam selepas dipukul ombak besar.
|