Lukanisman meninjau keadaan banjir di Pekan Bekenu pada Khamis. - Gambar Facebook Lukanisman
MIRI: Minyak enjin bot dan jaket keselamatan pada masa sekarang masih tidak mencukupi untuk operasi menyelamat mangsa-mangsa banjir di Sibuti.
Perkara itu dijelaskan Ahli Parlimen Sibuti Dato Lukanisman Awang Sauni ketika berkongsi perkembangan terkini situasi banjir di kawasannya.
Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia itu berkata, bekalan elektrik dan talian telekomunikasi juga terputus disebabkan bencana itu.
"Anggota (pasukan menyelamat) tidak cukup), elektrik terputus, talian telekomunikasi, minyak bot tidak cukup dan jaket penyelamat juga tidak cukup," jelasnya.
Beliau memberitahu, Kampung Bulau di Bekenu antara kawasan paling teruk dilanda banjir.
Menurutnya, paras air di Sepupok Niah juga telah melebihi paras bahaya.
Keadaan banjir di pekan Bekenu juga agak teruk, jelasnya.
Beliau memberitahu, jalan masuk bekenu dan pekan turut dinaiki air.
Antara kampung yang terjejas adalah Kampung Jenggalas dan Kampung Dagang
"Kebanyakan rumah di Kampung Jenggalas telah masuk air banjir termasuk Kampung Dagang,” jelasnya.
Bilik Gerakan telah membuka Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di kompleks sukan Arena Sibuti pada jam 11 pagi tadi.
|