Edited by Vellfire at 1-2-2025 11:03 PM

PENGHARGAAN: Nizam (tengah) menerima cedera kenangan daripada penganjur.
TAWAU: Kerajaan negeri sedang berusaha mencari pelabur yang dapat membantu membangunkan tapak sukan permotoran di daerah ini.
Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata beberapa lokasi sudah dikenal pasti sesuai dijadikan tapak sukan permotoran di Tawau.
Katanya, sekiranya lokasi itu sudah dipastikan sesuai dijadikan tapak sukan permotoran, kerajaan negeri akan mencari pelabur yang boleh membangunkan kawasan itu.
“Kita sangat yakin banyak yang mahu melabur untuk merealisasikan tapak sukan permotoran di Tawau kerana kerajaan negeri pada hari ini sangat mesra kepada pelabur.
“Ekonomi kita semakin berkembang kerana pelabur berasa senang dan mudah membuat pelaburan mereka di Sabah sekali gus membawa lebih banyak limpahan ekonomi kepada masyarakat di negeri ini,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian ketika ditemui dalam Program Mega Gathering Auto Show Vol. 1, di sini, semalam.
PEMENANG: Nizam menyampaikan hadiah kepada kumpulan yang menang dalam pertandingan kali ini.
Mengulas mengenai program ini, katanya, kerajaan negeri sangat menyokong program sebegini kerana ia boleh menjadi tarikan peminat sukan permotoran datang ke Sabah.
“Saya difahamkan program ini berjaya menarik lebih 500 penyertaan daripada pelbagai daerah termasuklah luar dari Sabah seperti Thailand, Indonesia dan Semenanjung Malaysia.
“Saya berharap program ini dapat diteruskan pada masa akan datang dan kalau boleh diadakan dengan lebih besar lagi yang melibatkan lebih 1,000 penyertaan,” katanya.
Menurutnya, kreativiti peserta kali ini sangat mengagumkan dan dilihat dapat bersaing dengan peserta dari luar negara. “Saya sangat menggalakkan belia di Sabah supaya terlibat dengan aktiviti berfaedah seperti yang dianjurkan ini dan tidak terlibat dengan gejala yang tidak sihat.
“Difahamkan juga penganjur turut memberikan nasihat supaya semua peserta sentiasa mematuhi peraturan jalan raya yang telah ditetapkan oleh kerajaan,” katanya.
Terdahulu, Nizam turut menambah hadiah pemenang berupa wang tunai kepada pemenang tempat pertama, kedua dan ketiga.
|