![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20250206/img9830.jpeg)
LAPORAN: Arifin menunjukkan laporan polis yang dibuat di IPD Kota Kinabalu.
KOTA KINABALU: Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Mohd Arifin Arif menyifatkan laporan sebuah portal berita mengenai dakwaan pembabitan dirinya dalam penyelesaian isu rasuah yang dikaitkan dengan perlombongan mineral di Sabah sebagai berniat jahat.
Beliau berkata, laporan bertajuk 'Pendedah maklumat: Menantu Musa Aman tawar penyelesaian tutup mulut saya' itu berniat jahat kerana mengandungi dakwaan yang tidak tepat, mengelirukan dan mengandungi fakta palsu dan memfitnah.
"Laporan itu jelas membuktikan bahawa individu terbabit (pendedah maklumat) dengan kumpulan kartelnya akan menggunakan segala helah dan tipu daya untuk mendapatkan lesen-lesen perlombongan termasuk memfitnah saya dan individu-individu yang lain.
"Ini juga membuktikan motif utama kumpulan kartel tersebut dalam mengeluarkan dan menyebarkan berita-berita dan fakta-fakta palsu adalah untuk memonopoli lesen-lesen perlombongan di Sabah," katanya pada sidang media selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, di sini.
Arifin yang juga Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) berkata, beliau juga tidak pernah dihubungi oleh portal berita yang menyiarkan laporan terbabit untuk mendapatkan pengesahan berhubung perkara itu sebelum disiarkan.
Katanya beliau mengarahkan pasukan peguamnya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang memfitnahnya dan bersekongkol dengan kumpulan kartel terbabit dalam usaha mereka untuk memonopoli lesen perlombongan di Sabah.
"Oleh yang demikian, saya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak-pihak yang memfitnah dan bersongkongkol dengan kumpulan kartel ini yang cuba memonopoli lesen perlombongan di Sabah," katanya.
Beliau berkata semua perincian berhubung tindakan undang-undang yang akan diambil berhubung perkara itu diserahkan kepada peguamnya.
Sebuah portal berita sebelum ini memuat naik laporan mengenai dakwaan pemberi maklumat yang mendedahkan siri video didakwa skandal rasuah beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah kononnya Arifin yang juga menantu Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman menawarkan penyelesaian untuk menutup mulutnya.
Antara penyelesaian itu ialah pemulihan lesen penerokaan mineral yang sudah dibatalkan dengan syarat bahawa pendedah maklumat itu perlu mengeluarkan kenyataan umum mengatakan dana yang bertukar tangan sebagai sumbangan politik.
|