Male: Percutian indah seorang wanita di Maldives bertukar pengalaman menakutkan apabila seekor jerung menggigitnya.
Portal NDTV melaporkan, rakaman yang tersebar di media sosial menunjukkan serangan itu berlaku yang menunjukkan wanita dikenali Chels terapung dalam air berhampiran sekumpulan ikan.
Video sama juga menunjukkan kesan kecederaan pada tangan wanita yang menerima rawatan akibat gigitan jerung.
Kapsyen pada video itu menjelaskan bahawa Chels tidak sengaja meletakkan tangannya ke dalam mulut jerung, bagaimanapun jerung itu segera melepaskan tangan wanita itu.
Difahamkan, tiga jari Chels cedera akibat gigitan yang tidak disengajakan.
Menerusi rakaman video yang tular, Chels dilihat terapung di dalam air jernih berwarna biru di tengah sekumpulan jerung
Tiba-tiba, seekor jerung datang ke arahnya kemudian menggigit tangannya sebelum melepaskannya.
Video itu mendapat pelbagai reaksi dalam kalangan warganet.
"Kamu sangat bertuah kerana masih ada semua jari kamu," tulis seorang warganet.
"Orang ramai memberi l makan untuk menarik mereka supaya boleh mendapatkan gambar Instagram (IG) yang sempurna," tulis seorang lagi warganet.
Berenang dengan jerung adalah aktiviti popular di Maldives, yang mana pelbagai agensi menawarkan pelancong peluang untuk berenang berhampiran jerung atau pari.
|