Jakarta: Hanya kerana tidak berkongsi nombor telefon adiknya, seorang pemuda dari Jawa Barat, Indonesia, cedera diserang seorang individu yang dikenali sebagai HS.
Portal Kompas melaporkan, mangsa dikenali sebagai AH, 22, diserang menggunakan senjata tajam oleh HS, 20.
Kejadian berlaku pada Isnin, 3 Februari, ketika AH baru pulang dari masjid. Suspek meminta nombor telefon adik mangsa, namun mangsa tidak menurut permintaannya.
Disebabkan itu, suspek berang dan mencederakan mangsa menggunakan senjata tajam jenis samurai, kata jurucakap Pengelola Informasi dan Dokumentasi Multimedia (PIDM) Polis Sukabumi Kota, Ipda Ade Ruli Bahtiarudin Kasubsi, dalam satu kenyataan media bertarikh 5 Februari.
Akibat serangan itu, mangsa cedera pada bahagian mulut dan kehilangan dua gigi.
Susulan kejadian itu, mangsa membuat laporan polis untuk tindakan lanjut, kata Ade.
Pada 4 Februari lalu, suspek ditangkap oleh penduduk setempat kira-kira jam 12.15 tengah malam sebelum diserahkan kepada pihak polis.
Anggota polis Kebonpedes yang menerima maklumat bergegas ke lokasi dan membawa suspek untuk ditahan.
Suspek kini masih ditahan untuk siasatan lanjut, katanya.
|