![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20250207/5849167754442159943.jpg)
KUCHING: Sebanyak 24 pusat pemindahan sementara (PPS) masih aktif di negeri ini setakat jam 12 tengah hari tadi.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), ia susulan dua PPS yang ditutup iaitu Dewan Serbaguna Peliau dan Dewan SMK Merbau Miri.
Daripada jumlah itu katanya, 22 PPS menempatkan mangsa banjir sementara dua lagi PPS masing-masing menempatkan mangsa tanah runtuh dan kebakaran.
Sekretariat JPBNS berkata, mangsa banjir yang masih tinggal di PPS melibatkan 1,445 ketua isi rumah (KIR) dengan 4,486 mangsa.
Manakala bagi mangsa tanah runtuh, ia melibatkan 42 KIR dengan 169 mangsa terjejas di Miri. Bagi mangsa kebakaran, ia melibatkan tujuh KIR dengan 35 mangsa di Bahagian Sibu.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang masih terjejas setakat ini adalah 1,494 KIR dengan 4,690 mangsa seluruh negeri.
|