![](https://assets.hmetro.com.my/images/articles/HM011124fyd_1738993626.jpg)
MOHAMED Al Fayed. FOTO Reuters.
London: Tiga bekas pekerja di gedung Harrods di sini, mendakwa seorang lagi adik mendiang bosnya Mohamed Al-Fayed melakukan serangan seksual selepas ratusan tuntutan sama dibuat terhadap jutawan itu, lapor BBC pada Jumaat.
Mereka mendakwa Ali Fayed, satu-satunya pewaris yang masih hidup daripada tiga beradik itu menyerang mereka ketika bekerja di gedung serbaneka mewah itu pada tahun 1990-an.
Lebih 400 wanita tampil dengan dakwaan serangan seksual, termasuk rogol, terhadap bekas pemilik Harrods dan Kelab Bola Sepak Fulham, Mohamed Al-Fayed, selepas dokumentari BBC yang diterbitkan pada September.
Pada November, tiga wanita mendakwa abang kepada Mohamed, mendiang Salah Fayed, menyerang mereka semasa bersama-sama memiliki kedai serbaneka itu dengan Mohamed.
Minggu yang sama, New York Times menerbitkan dakwaan seorang mangsa yang menuduh adik Mohamed, Ali, mengetahui mengenai 'perdagangan' wanita.
Kini, tiga bekas pekerja berkata, mereka diserang oleh Ali Fayed di London, Scotland, Switzerland, dan Amerika Syarikat semasa kedai serbaneka itu dimiliki oleh keluarga Fayed, menurut BBC.
Seorang wanita, yang dikenali sebagai Amy, berkata, dia 'menanggung' penderaan disebabkan oleh Mohamed Al-Fayed selama tiga tahun sebagai pembantu peribadinya, dan juga mengalami serangan seksual oleh Ali di sebuah chalet keluarga Fayed di Switzerland.
Dia memberitahu BBC bahawa dia mahukan penjelasan daripada Ali Fayed, 81, yang juga pengarah di Harrods.
Seorang pereka dalaman Harrods, yang hanya dikenali sebagai Frances, berkata dia didera berulang kali oleh Mohamed Al-Fayed sebelum dicabul oleh Ali di sebuah apartmen persendirian di pusat London dan kemudian di rumah keluarga Fayed di Connecticut, Amerika Syarikat.
Laura, mangsa ketiga yang dikatakan, mengalami 'serangan seksual yang serius' oleh Ali Fayed, menurut BBC.
Jurucakap Ali Fayed memberitahu BBC bahawa beliau menafikan semua dakwaan itu.
Jurucakap Harrods berkata, mereka 'tidak boleh dan tidak akan mengulas mengenai kes individu', sambil menambah bahawa individu yang didakwa boleh dan harus memberi respons terhadap dakwaan ini secara langsung.
Kenyataan itu juga menambah: "Harrods menyokong keberanian semua mangsa yang tampil ke hadapan. Tuntutan mereka menunjukkan sejauh mana penyalahgunaan yang dilakukan oleh Mohamed Al-Fayed dan mengemukakan dakwaan serius terhadap abangnya, Ali Fayed."
Harrods mengesahkan Ali Fayed adalah seorang pengarah dan beliau bertugas di pejabat pengerusi" semasa memegang peranan itu.
"Beliau berhenti daripada jawatannya apabila perniagaan itu bertukar pemilikan pada 2010," tambah kenyataan itu.
Justice for Harrods Survivors, yang mewakili ratusan wanita yang mendakwa diserang oleh Mohamed Al-Fayed, berkata mereka mewakili ketiga-tiga wanita dalam kes ini.
"Sejak hari pertama kami bekerja dalam kes ini, jelas individu lain selain Mohamed Al Fayed turut didakwa terbabit dalam serangan terhadap wanita dan menyembunyikan pengalaman mereka," kata Justice for Harrods Survivors dalam satu kenyataan.
Polis Metropolitan London membuka siasatan baru mengenai dakwaan serangan seksual terhadap Mohamed Al-Fayed, yang mengenal pasti sekurang-kurangnya 90 mangsa.
Mohamed Al-Fayed meninggal dunia pada 2023, dan Salah pada 2010.
|