|
Edited by Mahathirina at 10-2-2025 11:43 PM
Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat yang akan tamat perkhidmatannya, Nazri Aziz, menyangkal kritikan yang dilontarkan kepadanya pada hari-hari terakhirnya menyandang jawatan itu.
Nazri menjawab isu dibangkitkan bekas Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming, yang mendakwa dia gagal mengatur panggilan telefon antara presiden Amerika, Donald Trump dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
“Saya sudah menjawab apa yang dibangkitkan oleh bekas Ahli Parlimen Bangi ini dan saya tidak akan mengulanginya.
“Cuma saya nak sebutkan bahawa amat dangkal bila menganggap mengatur panggilan telefon antara Anwar dan Trump itu satu kepentingan.
“Sepatutnya yang perlu diutamakan adalah nilai pelaburan syarikat-syarikat AS ke Malaysia. Tetapi mungkin untuk orang bijak seperti Kian Ming, perkara ini tidak penting," kata bekas Ahli Parlimen Padang Rengas itu.
Pada 21 Januari lalu, isteri Nazri, Haflin Saiful, berkongsi gambar mereka meraikan kemenangan Trump sambil Nazri dilihat memegang sepanduk dengan slogan "Make America Great Again".
Semalam, Nazri mengesahkan kontrak dua tahunnya sebagai duta yang dilantik secara politik telah berakhir dan akan pulang ke tanah air pada 14 Februari.
Namun, Nazri menafikan dia "dipanggil balik" sebelum tempoh perkhidmatannya berakhir.
Sepanjang berada di Washington, Nazri menyebut dua kejayaan utama yang dicapainya - penyerahan dua rakyat Malaysia yang ditahan di Guantanamo Bay serta peningkatan ranking Malaysia dalam indeks tahunan pemerdagangan manusia AS.
Mengulas lanjut, Nazri berkata Ong sepatutnya faham bahawa pasukan Trump tidak mungkin memberi ruang untuk mengatur panggilan telefon dengan Anwar, memandangkan pendirian tegas perdana menteri dan Malaysia mengenai isu Palestin.
“Kian Ming juga perlu faham, jika kita beria-ia mahu supaya Anwar dapat bercakap melalui telefon dengan Trump, apa guna kenyataan-kenyataan tegas dalam isu Palestin yang dibuat sebelum ini?
“Atau bagi Kian Ming isu Palestin ini tidak penting, yang lebih penting adalah bercakap dengan Trump. Sepatutnya kita tidak boleh berkompromi dan mempertahankan pendirian kita dalam isu Palestin ini," kata Nazri.
Nazri turut mendedahkan bahawa dia dipanggil oleh Jabatan Negara AS sebanyak lima kali susulan kenyataan Anwar sebelum ini mengenai Gaza, termasuk mempertahankan Hamas dan bertemu pemimpinnya Allahyarham Ismail Haniyeh di Qatar; serta mempertahankan hak Iran untuk bertindak balas selepas serangan Israel terhadap konsulatnya di Syria.
Ong, dalam kritikan terhadap Nazri, membuat spekulasi mengenai calon yang akan menggantikan Nazri, termasuk anak perempuan Anwar, Nurul Izzah, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan, Tengku Zafrul Aziz, serta bekas Ahli Parlimen PKR, Yusmadi Yussof.
Bagaimanapun, Nazri mendakwa Ong, yang juga bekas timbalan menteri, sedang melobi untuk dilantik sebagai duta Malaysia ke AS yang baru.
“Tak perlulah bermain politik. Katakanlah sahaja yang anda mahukan jawatan itu. Itu lebih mudah dari sibuk mencari kelemahan dan kesalahan saya.
“Sepanjang dua tahun menjadi duta, saya akui bahawa saya bukanlah yang terbaik dan tentunya saya mempunyai banyak kelemahan.
“Namun sebelum mendapat jawatan ini saya tidak pernah membuat kenyataan dengan menyenaraikan kelemahan duta-duta sebelum ini," tegasnya.
Nazri juga menegaskan dia tidak pernah melobi untuk jawatan tersebut, sebaliknya namanya dicadangkan oleh Perdana Menteri ketika itu, Ismail Sabri Yaakob. |
This post contains more resources
You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register
x
Rate
-
1
View Rating Log
-
|