Batu Pahat: "Siapa yang nak sakit dan wajah begini? Tapi nak baik, nak berubat perlu duit dan sebab itu saya usaha juga cari rezeki bukan hanya untuk merawat tapi menyara diri serta isteri," kata Muhamad Amir Muhamad.
Muhamad Amir, 36, dari Taman Kapal Layar, Tongkang Pechah di sini, dilahirkan normal namun hidupnya berubah darjah selepas disahkan menghidap psoriasis atau penyakit kulit dan autoimun.
Menurutnya, penyakit itu bukan hanya menyebabkannya tidak selesa kerana keadaan kulit yang kering dan bersisik malah menjadikan dia hilang keyakinan diri.
Katanya, banyak juga wang dibelanjakan untuk merawat penyakit namun belum diizinkan Allah SWT untuk sembuh.
"Dulu saya normal tapi kulit jadi begini selepas naik ruam pada dahi dan hampir seluruh badan. Tak sangka ia jadi semakin teruk hingga disahkan psoriasis.
"Lima tahun juga saya ambil masa nak terima hakikat, malah banyak tempat sudah saya pergi untuk merawat termasuk berubat secara tradisional hingga pernah jumpa bomoh di Thailand.
"Dianggarkan RM5,000 hingga RM6,000 juga saya berhabis untuk merawat penyakit ini tapi belum juga sembuh sampai sekarang dan selain psoriasis, saya pun ada masalah sakit tulang belakang," katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Lantaran penyakitnya itu, Muhamad Amir tidak dapat lari daripada berdepan pandangan sinis masyarakat yang geli melihatnya terutama apabila berada di khalayak ramai selain segelintir rakan menjauhkan diri dengannya.
Bukan setakat itu, Muhamad Amir juga berdepan kesukaran mendapatkan pekerjaan kerana ditolak akibat penyakit dihidapinya.
"Sebelum sakit, saya pernah buat bermacam kerja seperti pelukis pelan, penghantar barang juga pembantu kedai dan restoran.
"Selepas jadi begini (sakit), saya pernah minta kerja di kilang dan yang lain tapi tak dapat sebab ada penyakit ini.
"Oleh kerana hilang punca, saya ikhtiar jual pelekat dihasikan sendiri. Pada awalnya saya jual di tepi jalan namun tak mudah kerana mahu dapat RM1,000 sebulan pun payah.
"Tapi saya usaha juga kerana perlu juga membayar sewa bulanan rumah sebanyak RM400," katanya.
Menyedari peluang menjana pendapatan di laman sosial, Muhamad Amir berikhtiar mempromosikan pelekat jualannya di TikTok.
"Awalnya tak serius pun (menjual di TikTok) tapi isteri beri galakan menjual dengan buat siaran langsung.
"Sambil menjual, saya bersembang dengan yang menonton dan ramai juga tanya mengenai penyakit saya, mendoakan serta ada juga beri sumbangan melalui 'gift' (hadiah).
"Alhamdulillah…terima kasih saya ucapkan dan saya hargai sangat semua yang beri semangat kepada saya supaya terus kuat menghadapi ujian ini," katanya yang masih menaruh harapan untuk sembuh.
|