View: 7800|Reply: 0
|
[Tempatan]
Guru dan 3 pelajar maut semasa keluar makan bersama
[Copy link]
|
|
Niat murni seorang bekas guru ganti membawa tiga pelajarnya untuk makan malam bertukar tragedi apabila kereta yang dinaiki terbabit dalam kemalangan.
Lebih menyayat hati, kesemua mereka maut dalam nahas melibatkan tiga buah kenderaan di Kilometer 6, Jalan Bahau-Rompin, Negeri Sembilan pada Rabu malam.
Dalam kejadian pukul 9.05 malam itu, Mohd Najmuddin Shapie, 31 yang memandu kereta Perodua Axia dan bekas anak muridnya yang juga penumpang kereta, Haziq Hakimi Mahindra dan Muhammad Danish Iskandar Muhammad Faidzul, masing-masing berusia 19 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian.
Seorang lagi mangsa, adik kepada Muhammad Danish Iskandar iaitu Muhammad Adi Putra Muhammad Faidzul, 16, meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) di Kuala Pilah.
Kakak kepada Mohd Najmuddin, Nurfatin Farhanah Shapie, 35, berkata adiknya itu seorang yang peramah dan rapat dengan ketiga-tiga mangsa yang juga bekas anak muridnya ketika mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alam Beraja, Felda Palong 11, Gemas.
“Keluarga bekas anak murid arwah juga pun tahu mereka keluar bersama. Malam tadi mereka dalam perjalanan ke pekan Bahau untuk makan.
“Mereka memang rapat, walaupun adik saya kini sudah tidak menjadi guru ganti dan bertugas sebagai Imam Surau Ladang FGV Palong 18 namun hubungan mereka masih rapat,” katanya kepada media.
Turut maut dalam kejadian itu adalah Lim Kwang Poh, 51, yang merupakan pemandu kereta Toyota Mark X.
Manakala, pemandu pacuan empat roda jenis Ford Ranger tidak mengalami apa-apa kenderaan.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, kejadian itu membabitkan sebuah kereta Perodua Axia, sebuah kereta jenis Toyota Mark X dan sebuah pikap jenis Ford Ranger.
Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku semasa kereta Perodua Axia yang dipandu oleh seorang lelaki bersama tiga orang penumpang dari arah Rompin menuju ke Bahau.
“Setiba di lokasi kejadian semasa sedang bergerak terus, tiba-tiba datang sebuah kereta jenis Toyota Mark X yang dipandu lelaki berusia 51 tahun telah masuk ke laluan bertentangan dan terus bertembung secara berhadapan dengan kenderaan Perodua Axia sehingga kereta tersebut berpusing.
“Kemudian, datang sebuah pikap yang dipandu seorang lelaki berusia 43 tahun dari arah belakang telah terlanggar bahagian hadapan sebelah kanan kereta Perodua Axia tersebut," katanya.
Sumber: mStar
|
This post contains more resources
You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register
x
|
|
|
|
|
|
| |
|