|
MENGAJAK penggiat seni mendalami, menghayati dan memartabatkan bahasa dan sastera menjadi inti pati utama program Getaran Jiwa: Irama, Lagu dan Sastera anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bersama Karyawan Malaysia yang akan diadakan pada hari ini.\rPopulariti dan pengaruh kuat karyawan seni terutamanya penyanyi, pelakon, penulis lirik, penggubah lagu dan pemuzik dilihat mampu menarik minat generasi muda untuk kembali membudayakan bahasa dan sastera yang seakan kian dipinggirkan.\r\n\n\n\n\rKetua Pengarah DBP, Datuk Termuzi Abdul Aziz berkata, dua program akan diadakan serentak pada 24 Mei (hari ini) iaitu Majlis Dialog bertajuk Peranan Karyawan Seni dalam Memperkasakan Bahasa dan Sastera Tanah Air dan acara Deklamasi Puisi.\r“Kami memilih panel berpengalaman dalam bidang seni seperti Habsah Hassan, Ad Samad dan Hairul Anuar Harun serta Prof Madya Dr Lim Swee Tin sebagai moderator untuk Majlis Dialog berkenaan.” katanya pada sidang akhbar yang diadakan Khamis lalu bertempat di bangunan DBP di ibu kota.\r\n\n\n\n\n\rSementara itu, Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez berkata program seumpama ini mampu membuka mata karyawan seni terutama artis baru terhadap kepentingan menjaga kualiti dan mutu bahasa dalam penciptaan lagu, lirik dan penulisan skrip.\r“Persatuan Karyawan mengharapkan kehadiran dan sambutan menggalakkan penggiat seni terutamanya artis baru, kerana sesi dialog ini landasan untuk mereka menimba ilmu selain dapat memberi pendapat dan berkongsi idea bersama panel demi kemajuan industri hiburan.\r“Program yang akan diadakan secara bersiri ini adalah permulaan kepada pelbagai aktiviti menarik yang sudah pun direncana oleh DBP dan Persatuan Karyawan, seperti deklamasi dan nyanyian lagu puisi, persembahan puisi tradisional dan pementasan teater.” katanya.\rBagi acara Deklamasi Puisi, mereka yang hadir akan dihiburkan dengan persembahan nyanyian dan deklamasi puisi oleh artis, sasterawan dan karyawan DBP sendiri. \rAntara artis yang dijangka akan mengadakan persembahan pada program berkenaan ialah Iqwal, Roslan Madun dan ramai lagi.\rTurut hadir pada majlis berkenaan dua ahli panel untuk Majlis Dialog nanti, iaitu penulis lirik terkenal, Ad Samad dan Hairul Anuar Harun. Tetamu dan media yang hadir turut dihiburkan dengan persembahan artis muda berbakat besar, Iqwal, yang menyampaikan beberapa lagu antaranya Ilham Pujangga, Mentera Semerah Padi dan Tercipta Untukku.\rOrang ramai yang berminat untuk hadir pada program yang diadakan secara percuma ini boleh menghubungi DBP atau Persatuan Karyawan untuk maklumat lanjut.\r
[Posting Asal] [Kembali ke Berita Rakyat] [Pump!]
|
|