|
Pengisian matang Adam 4\r Album: Adam 4\r Artis: Adam\r Genre: Pop Dance\r\n\n\n\n\n Terbitan: Aico Empire Group\rADAM 4 memperlihatkan kemampuan Adam untuk tidak hanya dikenali sebagai penyanyi, sebaliknya album itu turut membawa karier muziknya ke satu tahap baru.\rNaib juara Akademi Fantasia musim kedua itu cuba berdikari dengan mencorakkan keseluruhan perjalanan album itu.\rSelepas tiga percubaan yang disokong oleh trio adik beradik, KRU, Adam memanfaatkan pengalaman itu untuk mencari destinasi muziknya sendiri.\rBiarpun mempunyai kebebasan untuk menentukan arah yang ingin ditujuinya, Adam sebaliknya selesa membawa identiti yang diciptanya ketika dinaungi KRU dulu.\rAdam masih kental mengadun elemen pop dan dance yang membentuk kekuatan imejnya di mata penggemar seperti dalam tiga album terdahulu. \rCuma album ini lebih memperlihatkan sisi matang Adam, terutama pada penyampaian dan pilihan lagu yang mencerminkan kedewasaannya.\rTidak dinafikan bayangan KRU masih dapat dirasai dalam album ini. Tetapi itu bukan bermakna pembaharuan yang dibawakan Adam tidak langsung dirasai.\rPeminat boleh menilai menerusi lima lagu yang dimuatkan iaitu Tension, Kau, Pergilah, Ellena dan Boleh Bah Kalau Kau. Adam 4 juga dilengkapi lima lagu instrumental untuk peminat setianya.\rNuansa pop komersial Naif\rAlbum: Planet Cinta\r Artis: Naif\r Genre: Pop\r Edaran: Muzikon Sdn Bhd\rKALI terakhir muncul dengan Televisi pada 2007, karier rakaman Naif bagaikan tertunda apabila berdepan masalah pengedaran album.\rPlanet Cinta menyaksikan Naif memilih untuk menghasilkan karya yang lebih mesra telinga. Album ini juga memperlihatkan Naif menterjemahkan pengertian cinta itu daripada pelbagai sisi.\rLantas Planet Cinta dibaluti oleh sentuhan pop yang lebih mudah dicerna. Garapan muziknya juga ringkas dan sederhana, mudah dibawa malah pantas menyentuh hati pendengar.\rNaif cuba mencari kesederhanaan pada gaya persembahan mereka selepas melakukan pelbagai eksperimen dalam Televisi.\rBarangkali elemen komersial yang lebih dititikberatkan itu serasi dengan hasrat Naif supaya Planet Cinta didukung lebih ramai peminat.\rDi Indonesia, lagu Karena Kamu Cuma Satu diangkat sebagai single pertama. Lebih banyak mengusung nuansa muzik ‘oldies’, kebanyakan lagu yang diisi dalam Planet Cinta pantas mencuri pendengaran peminat.\rSentuhan pop yang sedikit mendayu juga mendominasi pengisian album ini seperti pada lagu Buta Hati dan Apa Adanya. \rBagaimanapun, sentuhan eksperimen masih dapat dirasai peminat terutama pada lagu Cuek yang kaya dengan ketukan dram dan gitar.\rNaif masih mampu meletakkan karya pop mereka dalam kualiti tersendiri yang dibaluti nuansa berbeza pada setiap lagu yang diisi.\rDestinasi muzik yang jelas\rAlbum: Get Em Girls\rArtis: Jessica Mauboy\rGenre: Pop R&B\rEdaran: Sony Music Entertainment\rPENYANYI kelahiran Darwin, Australia ini memasuki industri hiburan selepas memboloskan diri dalam program realiti, Australian Idol pada 2006.\rMeskipun cuma berpuas hati pada tempat kedua, Jessica Mauboy meraih kontrak bersama Sony Music Australia dan diberi peluang melahirkan kompilasi, The Journey pada 2007.\rAlbum itu memuatkan himpunan lagu yang pernah dipersembahkannya sepanjang menyertai Australian Idol.\rPercubaan pertamanya diperoleh pada 2008 menerusi album sulung, Been Waiting. \rAlbum memuatkan lagu seperti Running Back, Burn dan Because meraih platinum berkembar serta diiktiraf sebagai album kedua mencatat penjualan tertinggi di Australia pada 2009.\rGet Em Girls adalah album keduanya yang dirakamkan di Los Angeles, New York dan Atlanta menemukan Mauboy dengan ramai komposer popular Amerika Syarikat.\rAlbum ini menemukan Mauboy dengan apa yang dicarinya, malah destinasi muziknya juga semakin jelas. Album ini padat diisi lagu yang bernuansa urban, malah mungkin mengingatkan pendengar kepada apa yang pernah dipersembahkan Beyonce Knowles.\rBarangkali jati dirinya sebagai penyanyi masih belum dicungkil sepenuhnya kerana Get Em Girls cuma mengangkat genre popular yang sudah sebati dengan pendengar.\rNamun dari segi potensi, Mauboy mampu muncul sebagai pelapis yang akan membanggakan industri dengan kekuatan bakatnya.
[Posting Asal] [Kembali ke Berita Rakyat] [Pump!]
|
|
|
|
|
|
|
| |
|