|
Kerajaan, persatuan didesak ambil hak cipta Seniman Agung jadi milik mutlak negara\rMEMBICARAKAN mengenai ketokohan seniman agung tanah air, Tan Sri P.Ramlee, pastinya tidak akan pernah kering dengan idea. \r\n\n\n\n\rAda saja topik yang menarik untuk dibualkan. Jika bukan aspek lakonan ia pasti dikaitkan dengan telatah komedi, nyanyian, melodi, peralatan muzik, lirik, pengarahan, keperibadian dan sebagainya pasti banyak boleh dihubung kait.\r\r\n\n\n\n\nIni membuktikan P.Ramlee bukan lagi diletakkan sebagai seorang tokoh seniman yang sukar dicari ganti, malah diletakkan sebagai isu kenegaraan.\rSelain itu, soal tuntutan royalti daripada waris P Ramlee yang dikatakan berjumlah RM200 menerusi penayangan filemnya di stesen TV juta turut menjadi topik perbincangan menerusi Forum P Ramlee di Tapak Bazar Pasar Malam di Klang Sentral, Klang pada Ahad lalu. \rForum itu diadakan sempena Hari Seniman yang disambut setiap tahun pada 29 dianjurkan oleh Persatuan Penyanyi, Pemuzik dan Pencipta Lagu Tanah Air (PAPITA).\rTurut hadir di forum ini ialah Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang Gandum. \r\n\n\n\n\rTidak dinafikan, forum yang membicarakan mengenai pemilik nama penuh Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh itu sudah beratus kali pernah dianjurkan di negara ini, ia bukan saja dianjurkan kementerian, persatuan seni malah institusi pengajian tinggi turut menjadikan ia sebagai topik akademik. \rForum itu mengundang Datuk Aziz Sattar, Kassim Masdor dan seniwati Zaiton Abdullah selain ahli akademik Profesor Madya Dr Abu Hassan Hasbullah dan Pengarang Hiburan, Berita Harian, Zainuri Misfar, manakala Pengarang Rencana Metro Ahad, Adam Salleh sebagai moderator. \rWalaupun tiada topik khusus, tetapi perbincangan dalam forum yang singkat ini bukan sahaja membicarakan pengalaman dan keperibadian P Ramlee, tetapi juga berkaitan dengan hak cipta karya seniman agung itu. \rBerdasarkan pandangan daripada Dr Abu Hassan dan Zainuri, jelas sekali mereka mahu kerajaan dan persatuan artis lebih serius dengan berusaha sedaya upaya untuk mengambil semua hak cipta karya P Ramlee sebagai milik negara secara mutlak. \rBeliau juga menegaskan P Ramlee adalah hak Malaysia dengan Singapura dijadikan platform untuk mengembangkan bakatnya dalam seni kerana hanya di Singapura saja pada tahun 50-an hingga lewat 60-an menjadi satu-satunya tempat yang mempunyai studio perfileman. \r“Studio perfileman waktu itu tidak ada di Taiping, Kota Bharu atau Kuala Lumpur tetapi di Singapura. Jadi, anak seni dari Kedah, Taiping, Kelantan dan Pulau Pinang berkelana ke Singapura kerana hanya di Singapura ada studio perfileman. \r“Secara jelasnya, P.Ramlee adalah milik kita dan bukan seperti yang diakui Singapura. Dia adalah anak jati yang lahir di negara ini dan berhijrah kerana ketika itu tiada studio rakam di bandar seperti Pulau Pinang, Ipoh dan Kuala Lumpur.\r“Namun kita berbangga apabila karya yang dihasilkan sebenarnya merujuk kepada isu serumpun dan sebab itulah banyak negara mengaku P.Ramlee adalah milik mereka. Kita harus berbangga kerana karya yang dihasilkan begitu dekat dengan masyarakat serumpun,” katanya.\rBegitupun, Abu Hassan agak terkilan apabila tuntutan itu pernah diajukan oleh kementerian, namun sehingga kini ia masih tiada susulan.\r“Kita sebenarnya tidak serius di peringkat semua ia termasuk persatuan yang tidak sama-sama sepakat menuntut kembali khazanah seni kita. Mereka harus sedar karya inilah satu-satunya yang cukup bernilai untuk dijadikan khazanah negara,” katanya.\rSementara itu, Zainuri pula menegaskan bahawa kita sebenarnya hanya memiliki nama P Ramlee sahaja tetapi bukan mempunyai pegangan ke atas hak cipta semua filem dan muzik karya seniman itu secara mutlak. \rKatanya, walaupun kita sering menonton filem P Ramlee di kaca TV atau mendengar lagu-lagunya di radio, realitinya segala harta intelek karya P Ramlee dipegang secara mutlak oleh Shaw Brothers dan EMI Singapura (sekarang Warner Music). \r“Sedihnya kerana kita hanya memiliki nama P.Ramlee saja, ada kalanya kita terlupa bahawa karya filem dan lagunya adalah hak orang lain. Apa yang kita tonton menerusi filem dan mendengar lagu-lagunya setiap hari sebenar bukan milik kita.\r“Sekiranya kerajaan serius untuk melakukan sesuatu, di sinilah peranan media yang akan sepakat menyokong dengan apa cara sekalipun. Saya percaya sekiranya pihak Shaw Brother minta kerajaan membayar untuk mendapatkan hak karya P.Ramlee itu, rakyat Malaysia yang sentiasa prihatin boleh sepakat untuk mengumpul duit bagi membeli kembali hak itu.\r“Saya mencadangkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) mendokumentasikan segala bentuk forum atau menerbitkan lebih banyak buku-buku dari kenalan rapat P.Ramlee untuk dijadikan rujukan. Setiap mereka sudah tentu mempunyai cerita dan pengalaman berbeza,” katanya.\r“Kalau boleh dibina semula replika rumah P Ramlee sama ada di Kuala Lumpur atau di Pulau Pinang ke sebuah tempat yang strategik seperti di sekitar Putrajaya,” katanya.\rDi tanya Adam mengenai tuntutan royalti sebanyak RM200 juta oleh waris P Ramlee, Zainuri berpendapat, perkara itu tidak mudah dilakukan kerana membabitkan proses perundangan dan birokrasi yang rumit selain kos yang tinggi.\rSelain itu, daripada perspektif media juga, Zainuri berpendapat adalah tidak wajar sama sekali tidak perlu lagi ada ungkapan ‘P Ramlee masih tiada pengganti’. \r“P.Ramlee hanya ada seorang. Memang tidak akan ada dua P.Ramlee. Tidak perlulah ada ungkapan ‘sehingga hari ini P Ramlee tiada pengganti’. Memang sampai bila-bila, P Ramlee tidak ada penggantinya.\r“Justeru adalah sebaiknya kita tidak merujuk kepada karyawan seni untuk melahirkan pengganti P.Ramlee, apa yang ada pada dirinya tidak ada pada mana-mana karyawan seni hari ini,” katanya.\rDalam pada itu juga, Aziz dan Zaiton tidak lain hanya membincangkan mengenai pengalaman manisnya ketika sempat mengenali keperibadian P.Ramlee yang menganggap seniman itu memiliki cukup sifat pemurahnya.\rBagi Kassim pula, sekadar menyentuh mengenai penghasilan karya lagu P.Ramlee yang ajaib sehingga digemari golongan masa kini.
[Posting Asal] [Kembali ke Berita Rakyat] [Pump!]
|
|