|
KRU jadi penyanyi secara tidak sengaja kerana permintaan daripada syarikat rakaman \rKISAH hidup trio adik beradik KRU yang dibarisi Norman, Yusry dan Edry Abdul Halim mungkin boleh diibaratkan seperti sebuah cerita dongeng. Dari hanya sebuah kumpulan yang pada ketika itu menyerahkan nasib mereka sepenuhnya kepada EMI Music sewaktu menjengah ke dalam industri pada 1992, mereka kemudian mengorak langkah menubuhkan syarikat sendiri empat tahun kemudian di bawah nama KRU Records. \r\n\n\n\n\rSyarikat yang ditubuhkan pada 1996 itu tidak terhad mengawasi kerjaya mereka sendiri, biarpun pengalaman seni mereka ketika itu boleh dikirakan masih terlalu hijau. \r\r\n\n\n\n\nBahkan ramai yang tidak menjangka KRU boleh melangkah jauh seperti hari ini kerana kebiasaannya pada waktu itu, kebanyakan syarikat rakaman atau syarikat penerbitan milik keluarga memang tidak boleh bertahan lama. Apatah lagi boleh berkembang seperti mana KRU pada hari ini. \rNamun tiga beradik ini ternyata cukup berani apabila melahirkan artis sendiri. Kumpulan wanita Elite adalah artis pertama yang bernaung di bawah KRU Records.\rTahun demi tahun, artis yang bernaung di bawah KRU Records kian bertambah diikuti Indigo, X-Factor, Phyne Ballerz, Pretty Ugly, Dr Kronik dan ramai lagi.\rMalah sehingga kini, KRU Records yang sudah dikenali sebagai KRU Studios terus memayungi barisan artis muda antaranya kumpulan Forteen, Ad Azhar, Kumpulan VIP, Iqa Mentor, kumpulan Tiga dan Chomel Fanna. \r\n\n\n\n\rSelain memayungi artis, karya kreatif adik lelaki bongsu dalam keluarga Abdul Halim itu pula sering ditagih penyanyi lain yang percaya sentuhan magis Edry mampu melonjakkan kembali nama mereka.\rAntara artis yang pernah mendapatkan sentuhan lagu ciptaan Edry antaranya Anita Sarawak, Aznil, Stacy, Shahir, Rabbani, Adam, Mawi dan Akil Hayy serta ramai lagi.\rBagi membicarakan mengenai perjalanan muzik KRU yang akan memasuki usia dua dekad tahun depan, Edry adalah orang yang paling sesuai untuk memperkatakan mengenainya memandangkan Yusry kini lebih banyak memberikan tumpuan kepada filem, manakala Norman pula untuk bahagian pengurusan syarikat, strategi dan pemasaran.\rPertemuan kami berlangsung di studio Edry, dilatari warna jingga iaitu warna rasmi syarikat mereka, studio itu adalah ibarat rumah kedua buatnya. Dia sering menghabiskan masa di studio yang luas itu untuk menjana idea kreatifnya. \rMalah ketika sesi temu bual itu, Edry sempat membawa penulis meninjau sekitar pejabat mereka yang siap lebih setahun lalu.\rMelihat bangunan yang terbentang di tanah seluas 15.39 hektar di Cyberjaya ini, terdetik rasa kagum di hati penulis yang satu ketika dulu pernah meminati kumpulan ini. Bayangkan bermula dari penyanyi biasa, mereka kemudiannya memiliki empayar perniagaan yang kian kukuh. Tidak fokus kepada muzik semata-mata, mereka turut mengembangkan nama sebagai pengeluar filem yang berjaya.\rBakal menempuh usia 20 tahun dalam industri, semangat mereka terhadap muzik tidak pernah luntur terutamanya Edry. Katanya, selagi minatnya terhadap muzik masih menebal, selagi itu perniagaan muzik KRU tidak akan mati biarpun keadaan industri muzik yang kian perlahan sejak akhir-akhir ini.\r“Hampir dua dekad di dalam industri, KRU sudah bertemu benda yang sesuai untuk kami lakukan. Pada usia begini, rasanya kurang sesuai jika kami masih lagi sibuk mempromosikan album,” kata Edry memulakan sesi temu bual ini.\rMenurutnya, menerbitkan lagu adalah minat utama mereka sedangkan menjadi penyanyi secara tidak sengaja. \r“Kami terjebak apabila rakan menghantar lagu ciptaan kami kepada EMI. Mereka minta kami sendiri menyanyikan lagu yang kami cipta,” tambahnya lagi mengimbas sejarah awal pembabitan mereka dalam muzik dan bagaimana KRU muncul sebagai penyanyi. \rAkur dengan kehendak syarikat rakaman itu, maka wujudlah KRU yang dikenali sehingga hari ini. Kemunculan KRU pada awal tahun 90-an mewarnai suasana dunia muzik, tambahan pula mereka tampil dengan corak muzik lebih segar dan agresif seperti hip hop, rap dan dance music. \rBahkan lagu-lagu KRU juga boleh dianggap meletup dan kadang-kadang segar hingga ke hari ini seperti Awas, Mengerti, Di Dalam Dilema, Oh! La La, Janji Tinggal Janji, Fanatik, Luar Biasa, Jangan Lafazkan dan Terhangat Di Pasaran yang turut menampilkan Adam. \rSepanjang tempoh dua dekad dalam pentas muzik itu, KRU secara keseluruhannya sehingga sekarang sudah menghasilkan 16 album. \rHampir semua lagu yang dinyanyikan oleh KRU adalah hasil karya mereka. Penubuhan KRU Records adalah satu keputusan bijak kerana ini membolehkan mereka bebas mencorakkan lagu yang hendak dihasilkan. \r“Apabila terikat dengan syarikat rakaman, kami rasakan tiada kebebasan dalam berkarya. Lagu yang dihasilkan perlu dipersetujui oleh syarikat terlebih dulu, kami juga sangat obses kepada penghasilan album. Kami amat meminati penerbit album Beatles, George Martin serta penulis lagu dan komposer Stock/Aitken dan Waterman yang banyak menghasilkan lagu untuk Kylie Minouge. Dari situ kami memasang cita-cita untuk memiliki syarikat penerbitan sendiri.\r“Kemudian kami cari pula artis untuk bernaung di bawah KRU kerana banyak lagu yang kami cipta tidak semestinya sesuai untuk dinyanyikan oleh KRU saja. Jadi kami memberikan lagu-lagu itu kepada penyanyi yang bersesuaian. Di situlah bermulanya perkembangan perniagaan muzik kami,” imbau Edry.\rKecewa dengan muat turun lagu percuma\rBagaimanapun 20 tahun berlalu, kata Edry, KRU Studios kini tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada perniagaan muzik semata-mata kerana ia tidak mendatangkan pulangan lumayan gara-gara cetak rompak dan muat turun percuma dengan mudah di internet. \rFokus utama KRU Studios kini lebih menjurus kepada filem yang dapat menjanjikan pulangan lumayan tetapi dia tidak akan berhenti daripada berkarya dan menghasilkan lagu-lagu hit sesuai dengan peredaran masa.\r“Keadaan pasaran muzik kita sekarang amat menyedihkan. Penjualan album secara fizikal terlalu rendah sehingga ada ketikanya menyebabkan kita berasa tidak berbaloi untuk menerbitkan album. Saya tidak tahu di zaman mana muzik harus didatangkan secara percuma? Situasi itu terlalu berleluasa menyebabkan sebagai sebuah syarikat rakaman kita berasa agak tertekan dengan keadaan ini.\r“Kadang kala tidak berbaloi kita terbitkan album untuk penyanyi kerana hari ini lagu dilancarkan, esok lagu itu boleh dimuat turun secara percuma. Perkara itu menyebabkan kita mengalami kerugian kerana modal yang dikeluarkan untuk membuat album tiada pulangan. \r“Dalam tempoh tiga tahun, yang tinggal cumalah sekerat dua artis. Dalam tempoh jangka panjang pula kita tidak akan ada artis bertaraf superstar seperti Datuk Siti Nurhaliza, Ziana Zain dan ramai lagi. Hanya yang ada nanti adalah bintang saja kerana artis sekarang lebih banyak menghasilkan single saja.\r“Apa yang KRU lakukan sekarang adalah peka terhadap industri. Alhamdulillah muzik K Pop membuka pintu untuk pop Melayu kembali melatari industri muzik. KRU sentiasa mencari peluang itu untuk terus mengukuhkan perniagaan muzik kami.\r“Malah saya berasa bersyukur kerana muzik KRU ada identiti tersendiri. Sebelum ini orang selalu kata muzik KRU semuanya sama hingga membuatkan saya berasa rimas tetapi kini saya berasa cukup bangga sekurang-kurangnya orang peka terhadap muzik kami,” katanya.\rAlbum KRU\rCanggih (1992)\rAwas (1994)\rAwas Da\' Soundtrack (1995) \rOoh! La! La! (1996) \rKRUMANIA (1997) \rThe Way We Jam (1998) \rNever Let The Spirit Die (Single) (1998) \rLuar Biasa (Single) (1999) \rFormula Luar Biasa (1999) \rKRU - Tyco (2000) \rKrujaan (2002) \rEmpayer KRUjaan (2002) \rRelax (2004) \rKrunisme (2005) \r10 Di Skala Richter (2006) \rKRU - Ultimatum (2010) \rAntara Penyanyi Mendapat sentuhan lagu Edry KRU\rAnita Sarawak, Aznil, Stacy, Shahir, Rabbani, Adam, Mawi, Akhil Hayy Julia Banos dan Ezlynn\r
[Posting Asal] [Kembali ke Berita Rakyat] [Pump!]
|
|
|
|
|
|
|
| |
|