|
Pusat hiburan pernah melahirkan barisan kumpulan rock terkemuka tanah airKEJANTANAN, kelantangan dan aura panas The Red Rooster Club menghentak lantai pentas di Petronas Hyperstation Retail Centre, baru-baru ini membakar setiap roh penonton dengan pelbagai genre irama 60an serta 80an yang tersemat di sanubari ahlinya malah ia merangkul kehadiran ratusan peminat irama segar zaman kegemilangan rock n roll pastinya.\n\n\n\nBerbumbungkan langit, tanpa permaidani atau lantai berjubin, sebaliknya hanya tempat letak kereta sahaja, itu semua tidak langsung menyekat 11 kumpulan yang dijemput meraikan majlis “Reunion” sempena 30 tahun kewujudan kelab itu.\n\n\n\n\nMalah ia dilihat memberikan lebih inspirasi dan kehangatan dalam memetik gitar dan menghayunkan instrumen dalam memberikan hadiah teristimewa kepada peminat genre muzik yang tidak ditelan bumi itu.Mereka yang hadir menuntut buah tangan irama itu dilaungkan dan kekecewaan langsung tidak terbuai di wajah harapan mereka kerana setiap kumpulan yang menghiburkan sudah punyai aura tersendiri.Kedengaran suara peminat; “ Kami mahu lagi” dan “Hangatkan malam kami” - setiap kali bunyian instrumen menggegarkan pentas serta mengocak dada sesiapapun dengan ketangkasan deruan dram dan gitar yang dipetik indah.Antara band yang hadir menghenyak malam istimewa itu adalah Sir Moose, Raggy, Lord Lokman & Friends, Zubir Alwo & Slidin, Razak Rahman, Secret, Junk, Poe & Friends, Sons of Adam, Purple Haz dan penampilan istimewa Search, Hillary dan Amy yang mengusik telinga dan meruntun naluri peminat tegarnya.\n\n\n\nBagai ombak menegur pantai, begitulah akrabnya hubungan ahli kelab yang dulunya bertapak di Lorong Medan, Jalan Tuanku Abdul Rahman di ibu negara dalam menghimpunkan “cucu-cicitnya” kembali mewarnai irama yang teguh di hati kalangan peminatnya.Bagaimana gah namanya pada zaman 80an, The Red Rooster Club adalah kelab kecil di Lorong Medan Tuanku pada tahun 1981. Namun pintu kelab itu ditutup pada 1985 atas sebab tertentu sehinggalah pengasasnya, Chippy Zari berusaha bersungguh-sungguh mencari ahlinya untuk merapatkan yang jauh dan mengeratkan yang dekat atas satu nama kekeluargaan.Penuh ketaksuban, pengasas yang lebih selesa dipanggil Chippy ini menceritakan kewujudan kelab ini pernah disanjungi sehingga mampu mendidik nama besar artis di Malaysia seperti Search.“The Red Rooster Club ini dulu adalah sebuah pub yang menghimpunkan kalangan peminat genre rock, R&B, Rock, Raggae dan seirama dengannya dan kini ada yang sudah menjadi artis seperti Search. Di sinilah tempat peminat muzik rock melepaskan perasaan dan meluahkan rasa melalui muzik,” katanya.Penggemar genre muzik yang diminati seluruh isi dunia yang kerap berhijrah ke luar negara ini sedikit sebanyak mengimbau nostalgia lama dengan membuka almari kelabnya yang satu masa dulu menjadi kunjungan Deep Purple, Janick Gers, Ramli Sarip dan Lefthanded.“Ramai kalangan peminat yang hadir pada era itu menyaksikan dr Sam Raputin, Hamzah Dolmat, Search, Blues Gang, Razak Rahman, Paul Ponnudurai, Mark Ruffin, Raggy, Lefthanded dan Bloodshed,” luahnya ceria menitip kenangan lalu yang tidak akan berulang.Di sini sejarah Search bermulaJIKA cangkul berbudi pada tanah, tanah pula terhutang budi pada hujan. Begitulah diibaratkan hubungan antara Search dan kelab era 80 an yang satu ketika dahulu berperanan dalam menjadi saksi bicara anggotanya iaitu Hillary Ang, Amy, Yazit Ahmad dan Nasir Daud.Sebagai membalas budi kelab itu yang selayaknya dianggap melahirkan siapa Search hari ini, Amy, Yazit dan Nasir serta bekas kumpulannya hadir pada malam pengukuhan ahli itu demi mengenang budi yang tidak terbalas dek wang ringgit.“Search tidak mungkin ada, kalau Red Rooster Club tidak ada,” kata Nasir.Hillary yang kini bergiat sebagai penyanyi suara latar, berkata terima kasih tidak terhingga dihulurkan kepada pengasas kelab itu yang sudi menghimpunkan kesemua ahli dan ia sesuatu yang cukup sihat diwujudkan dalam industri seni kini.Manakala Yazit yang sudah muncul seawal jam lima petang lagi, menganggap nostalgia lama dikembalikan dengan wujudnya perhimpunan semua ahli kelab itu bersama generasi muda.“Kelab Red Rooster banyak membantu kami. Malah ada yang sudah popular kini dan reunion ini dilihat mampu mengeratkan ikatan sesama kami dan baik untuk industri juga,” katanya yang sudah melangkah ke kelab itu seawal usia 18 tahun.Kehadiran Amy dan Search kira-kira jam 12 malam amat dinantikan peminat dan suaranya mendendangkan tiga lagu, Rock N Roll dipetik daripada Led Zeppilin, Isi dan Kulit serta Pelesit Kota menoktahkan majlis itu dengan penuh keterujaan.“Kami bermula di Red Rooster Club namun ini adalah kali pertama saya bersua muka bersama pengasasnya, Chippy. Di situlah tempat kami meluahkan perasaan menyanyikan lagu yang kami gemari,” kata Amy yang memberitahu ada di kalangan rakan-rakan seangkatannya di kelab itu sudah bergelar peguam dan doktor.
[Posting Asal] [Kembali ke Berita Rakyat] [Pump!]
|
|