|
Technicolor bertanggungjawab mencantikkan filem Asia, antarabangsaMELIHAT kualiti gambar mengagumkan dengan warna yang menarik pada judul popular seperti Transformers dan Harry Potter, pasti ramai peminat filem yang tertanya-tanya, bagaimana mutu visual sehebat itu dapat dicapai? Apatah lagi apabila ditambah kesan bunyi yang menakjubkan.\n\n\n\nTeknik menghasilkan filem yang berkualiti itu sebenarnya dipertanggungjawabkan kepada syarikat pemprosesan filem terbesar dunia, Technicolor, yang juga berperanan sebagai medan pasca produksi filem di Hollywood.\n\n\n\n\nKini, filem tempatan turut mendapat sentuhan daripada Technicolor yang mempunyai cawangannya di Asia, bagi mencantikkan lagi filem yang dihasilkan.Filem Syukur 21 terbitan MIG Productions muncul judul tempatan pertama yang mendapat sentuhan pasca produksi filem daripada Technicolor Asia yang berpangkalan di Bangkok.Berkesempatan melawat studio terbabit yang terletak di Jutujak, Bangkok, Thailand baru-baru ini, memberi pengalaman baru kepada 17 anggota delegasi daripada Hip dan B*Pop, Berita Harian serta Berita Minggu, untuk melihat sendiri teknik pemprosesan dan kecanggihan Technicolor Asia itu. Melangkah masuk ke bangunan setinggi tiga tingkat berhampiran jalan Vipavadee Rangsit Road, Ladyao, itu seperti berada di sebuah bangunan pejabat biasa dengan susun atur di dalamnya yang sangat minimum.\n\n\n\nMeskipun kecil dan sedikit sempit, namun setelah menjengah ke dalam gedung terbabit, terkandung pelbagai kemudahan teknologi yang canggih dengan studio dan pawagam mini bagi tujuan pasca produksi.Kemudahan yang disediakan bertaraf Hollywood itu mampu menghasilkan pasca produksi filem bagi judul seperti Captain America, Conan The Barbarian dan The Adventures of Tintin.Setiap tingkat mempunyai peranannya tersendiri, yang dibahagikan kepada beberapa bahagian bagi memproses imej digital, perkhidmatan audio, warna, sari kata dan percetakan DVD.Bahkan, di bahagian belakang bangunan terbabit turut ditempatkan makmal memproses salinan filem ke bentuk DVD yang mampu menghasilkan lebih 200,000 salinan sehari.Siapa sangka, Technicolor Asia turut diberi peranan bagi menyempurnakan penghasilan filem dalam bentuk tiga dimensi (3D), malah filem Kung Fu Panda pernah diproses di sini.Menjengah ke aras tiga bangunan terbabit pula membolehkan anggota delegasi melihat sendiri studio warna, kesan bunyi dan pawagam mini yang sedang menyiapkan proses untuk filem terbaru terbitan MIG Productions, Sumpahan Kum Kum, Hantu Dalam Botol Kicap dan Papa I Love You. Alukan kerjasama produksi MalaysiaMENURUT Pengarah Urusan Technicolor Asia, Sergio Bosso, Technicolor mengalu-alukan kerjasama dengan produksi perfileman luar termasuk Malaysia dalam menghasilkan filem yang bermutu.“Mungkin suatu hari nanti Malaysia akan mampu menghasilkan filem 3D pertamanya di sini. Kami mengalu-alukan kerjasama ini dalam proses pasca produksi filem. “Kemudahan yang ada di studio ini adalah sama dengan kemudahan yang ada di Hollywood, malah filem dari Indonesia dan Thailand sendiri turut menjalani proses perfileman mereka di sini.“Proses pasca produksi bagi sesebuah filem biasa tidaklah lama, di mana pada kebiasaannya ia mengambil masa lebih kurang dua minggu saja berbanding proses untuk filem dalam bentuk 3D,” katanya.Walaupun bangunan dan ruang dalamannya kurang menarik jika dibandingkan dengan teknologi yang dimiliki, namun ia turut menempatkan studio suntingan filem dan sari kata yang terletak di aras dua.Malah, filem antarabangsa yang dipasarkan di Malaysia dengan dilengkapi sari kata berbahasa Melayu turut dilakukan di sini.Melihat kerja pemprosesan filem di studio terbabit sememangnya menarik perhatian delegasi. Peluang menyaksikan sendiri hasil kerja sebelum dan selepas proses pasca produksi dijalankan serta tayangan sedutan filem 3D terbaru amat mengujakan, apatah lagi hasil daripada teknologi terkini itu dapat disaksikan anggota rombongan lebih awal daripada orang lain.
[Posting Asal] [Kembali ke Berita Rakyat] [Pump!]
|
|