CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 3055|Reply: 3

Barat memomokkan sejarah

[Copy link]
Post time 10-11-2011 09:40 AM | Show all posts |Read mode

Dr Mat Rofa Ismail pada Majlis Diskusi Intelek Cheng Ho, Cina, Alam Melayu dan Perkaitannya di Panggung Percubaan UPM.

Perkembangan Islam di China disorok, penipuan Joseph Needham diiktiraf

"SEPARUH daripada penulisan sejarah adalah dengan menyembunyikan kebenaran." Pandangan Pemenang Anugerah Nebula 2005 (Skrip Terbaik - Serenity), Joss Whedon pasti tercerna daripada kekaburan yang dibawa pensejarahan Barat mengenai penyimpangan dalam teks, karya atau fakta sejarah.Apatah lagi penyimpangan, penyelewengan dan penyongsangan fakta wujud secara berleluasa dalam dokumen, teks serta karya sejarah yang ditulis orientalis mahupun pengarang Barat.Tujuan orientalis dan pengarang Barat hanyalah satu, iaitu menghilang dan menggelapkan pengaruh Islam khususnya terhadap kebangkitan dan kekuasaan imperialisme mereka, sekali gus mengabsahkan hegemoni mereka.

Lebih menyedihkan pandangan yang kononnya bersifat sejarawi itu, diekori oleh sejarawan dan pengarang dari Asia atau dunia Islam sehingga menerimanya sebagai fakta sejarah yang satu-satunya sah lagi benar.

Hasilnya, sejarah Islam dan tamadun lain di Timur bukan saja ditulis dan dibukukan oleh orientalis serta pengarang Barat, bahkan dibentuk dan dimuatkan berdasarkan kerangka pandangan alam mereka.

Tidak hairanlah banyak sumbangan Islam dan Timur terhadap kebudayaan dan peradaban Barat menjadi wap yang hilang di langit sejarah dunia sehingga yang tinggal adalah sejarah yang dibentuk berdasarkan bekas yang ditinggalkan oleh orientalis dan pengarang mereka.

Gejala minda tertawan ini dikemukakan Pensyarah Jabatan Matematik, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mat Rofa Ismail ketika mengupas Diskusi Intelek: Cheng Ho, Cina, Alam Melayu dan Perkaitannya di Panggung Percubaan UPM, Serdang, baru-baru ini.

Dr Mat Rofa berkata, tiga dinasti di China mempunyai hubungan erat dengan Islam, iaitu Dinasti Song, Yuan dan Ming, tetapi sejarah dinasti itu kurang dicatat dalam teks sejarah China.

“Malah, ramai yang tidak tahu pengaruh Islam dalam pemerintahan dinasti di China sudah sampai kepada tahap menjadi agama yang dianuti maharajanya, apabila Zhu Yuanzhang menjadi Maharaja Islam yang pertama.

“Bagaimanapun, apabila Dinasti Ming kalah di tangan Dinasti Manchu, kerajaan mengharamkan rakyat daripada belajar sejarah dinasti Islam itu,” katanya pada diskusi anjuran Kelab Bimbingan Mahasiswa UPM itu.

Tidak hairanlah, Dr Mat Rofa berkata, sumbangan besar dunia Islam tidak diketahui oleh umum seperti penciptaan peluru yang dikatakan sebagai sumbangan tamadun China sebenarnya dicipta oleh saintis Islam yang dibawa dari dunia Islam.

“Malah pelayaran Laksamana Cheng Ho atau Zheng He sendiri banyak diselewengkan sehingga ada sejarawan yang menohmah pelayarannya adalah bertujuan untuk membunuh musuh politik maharaja di Asia, meskipun beliau mahu menunaikan haji di Makkah.

“Ia jauh sekali berlawanan dengan fakta Zheng He membawa armada kapal yang sangat besar dalam pelayarannya tetapi tidak membawa balik harta rampasan,” katanya.

Ini kerana, Dr Mat Rofa berkata, China datang ke alam Melayu untuk melindungi kerajaan kecil di Gugusan Kepulauan Melayu seperti amaran Zheng He kepada Raja Siam yang mengganggu Kesultanan Melayu Melaka dengan mengingatkan kesultanan itu umpama adik kandung kepada China.

“Bagaimanapun, sejarah sumbangan dan pengaruh Islam di China digelapkan sehingga Islam tidak dianggap memainkan peranan penting dalam peradaban yang sangat besar itu.

“Penulis Barat, Joseph Needham, yang diupah oleh orientalis bukan saja mengubah sejarah China, bahkan banyak menyelewengkan fakta,” katanya.

Needham yang turut dikenali sebagai Li Yuese menghasilkan Science and Civilisation in China yang asalnya mengandungi tujuh jilid pada 1948, berkembang kepada 24 jilid dengan 15 daripadanya ditulisnya sendiri, selain turut menghasilkan Science in Traditional China.

Kerangka yang ditinggalkan Needham itu masih meninggalkan pengaruh yang kuat kepada pensejarahan China, apatah lagi apabila namanya diabadikan sebagai Institut Kajian Needham (NRI), Cambridge, England, yang mengepalai penyelidikan dalam sejarah sains, teknologi dan perubatan di Asia Timur.

Lebih teruk, Dr Mat Rofa berkata, sejarawan China sendiri banyak bergantung kepada Needham dalam penulisan sejarah bangsa dan tamadun mereka.

“Sebenarnya, Zheng He meninggalkan diari hariannya yang dianggap paling asli, sekali gus catatan yang ditulis oleh penulisnya, Ma Huan itu banyak bercanggah dengan tulisan Needham.

“Sepatutnya sebarang penulisan mengenai sejarah di China khususnya Islam perlu berpandukan kepada catatan harian itu berbanding karya yang lebih mutakhir,” katanya.

Beliau mengingatkan banyak pembohongan dalam sejarah diterima sebagai fakta yang sah dan benar seperti Dr David Livingstone yang menjadi orang pertama menemui Sungai Nil atau Singapura yang dibuka oleh Stamford Raffles.

“Lebih melucukan apabila fakta penemuan Dr Livingstone pernah digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran sejarah di sekolah di Mesir kerana kalau mahu menipu pun, janganlah sampai keterlaluan.

“Fakta penemuan Dr Livingstone itu umpamanya kita mempercayai bayi menyambut kelahiran bidannya kerana Sungai Nil sudah lama wujud dan Afrika sendiri sudah lama mempunyai penghuni,” katanya.

Penyimpangan, penyelewengan dan penyongsangan sejarah oleh orientalis dan pengarang Barat itu sudah lama dibiarkan bermaharajalela dalam membentuk kerangka kronologi dan pensejarahan dunia Timur khususnya Islam dan alam Melayu.

Sudah sampai masanya sejarawan dan pengarang kita membongkar teks dan sumber sejarah sendiri yang tersisih kesan daripada metodologi pensejarahan dan klasifikasi teks yang dirangka oleh Barat untuk menafikan hakikat sebenar sumbangan dan pengaruh Islam ke atas peradaban dunia.

Sebarang kitab, teks, hikayat, dokumen, catatan dan salasilah yang ditulis ulama dan pendakwah, sejarawan dan pengarang dunia Timur serta Islam perlu dikumpul, disusun dan dicantumkan dalam kerangka ilmu yang sebenar dengan menggunakan kekuatan intelektual untuk mentafsir dan menulis sejarah yang tepat.




Sumber : Berita Harian
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 10-11-2011 10:22 AM | Show all posts
jangan percaya satu pun yang dimomokkan dalam berita hairan.... walau satupun ayat jgn purcaya .....penipu katanya...
Reply

Use magic Report

Post time 12-6-2014 04:55 PM | Show all posts
yaaa...saya setuju yang harip...
Reply

Use magic Report

Post time 12-6-2014 10:57 PM | Show all posts
banyak fakta sejarah yg diputar belit, disorok dan direka2..syg sekali kita tertipu dgn tulisan barat..sbb xramai org minat sejarah..so kalo kena tipu pon diorg redha..
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

30-11-2024 12:16 AM GMT+8 , Processed in 0.060341 second(s), 16 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list