CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 2437|Reply: 0

[Buku] Nota dari Penjara Mesir

[Copy link]
Post time 30-7-2013 10:04 PM | Show all posts |Read mode
OLEH HAFIZ HAMZAH30 Julai, 2013
That Smell
Sonallah Ibrahim
New Directions
2013
(Penterjemah – Robyn Creswell)
Kaherah membunuh diri. Bara api dari tahun 1952. Kota yang bangkit dan kemudian tumbang dan hancur kerana diri sendiri. Cerita tentang kebebasan di jalanan, dari lingkungan rakyatnya. Sebuah kota yang agung, luas dari segenap sudut, kini melahirkan kepedihan.
Kaherah di tahun 1960an berkocak di tengah – baik dari lapangan politik mahupun pengaruh budaya. Secebis kejadian daripada beribu-ribu cerita lain dalam tempoh waktu itu; seorang anak muda, lulusan perundangan dari Universiti Kaherah ditahan atas sebab aktiviti politiknya yang tidak menyenangkan pada 1959 dan dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun di atas perintah presiden Gamal Abdel Nasser yang tujuh tahun sebelum itu naik takhta dengan rampasan kuasa tentera pada 1952. Namanya Sonallah Ibrahim, usia duapuluhan.
Selepas lima tahun meringkuk di belakang tembok penjara al-Wahat, di atas tapak padang pasir bahagian timur Mesir, dia dibebaskan. Baki dua tahun lagi itu agaknya menerima ampun penguasa. Sebaik melangkah keluar dari penjara, dia tak punya tempat untuk dituju. Hancing dari tembok penjara masih berbekas dilohong hidung dan akan terus menghantui deria-deria pekanya sepanjang hayat.
Bertahun-tahun ke hadapan selepas itu dia nekad untuk memberi tumpuan dan tenaga untuk menulis. Itu bukan sesuatu yang baru ingin dilakukannya. Selama tempoh dipenjara, dia senyap-senyap menulis nota-nota dalam jurnal kecil tentang hari-hari yang dilaluinya sebagai tahanan politik. Aneh juga, sastera menjadi antara tumpuan permenungannya yang paling tajam dalam keadaan seperti itu.
Sebaik dibebaskan, dia ingin menulis novel, yang menyanggah bentuk dan gaya penulisan novel konvensional yang lahir dari bumi Mesir ketika itu, ketika kerancuan politik dan agama bertembung dan pengaruh yang paling kuat tiba dari garis pemisah yang nipis; misalnya, pengaruh komunisme Soviet Union yang digerakkan oleh Parti Komunis Mesir yang cuba sedaya upaya difahami dan kemudian diseimbangkan oleh pemerintah, yang pada masa sama turut diasak oleh kelompok Islamis.
Ironinya, novel terawal yang sempat disambar dalam tempoh itu ialah One Day in the Life of Ivan Denisovich karangan Aleksandr Solzhenitsyn, yang kritikal terhadap pemerintahan Stalin dan Soviet secara umum. Seperti yang dia sendiri catatkan ketika masih lagi dalam penjara, menulis bukanlah sesuatu yang menyenangkan. Tetapi, jika tidak dilunaskan keinginan itu, keadaan akan bertambah buruk. Emosi akan terganggu, pastinya. Ibrahim mencatat ringkas tentang hal itu:
7 Mac – Selama dua hari aku cuba untuk menulis semula. Aku fikir aku sudah tahu apa sebenarnya hal itu dan bagaimana aku akan menulisnya. Tetapi bila aku mula menulis, aku jadi takut. Awal semalam aku menangis kerana tak mampu pergi lebih dari dua muka surat. Aku rasa seperti kehilangan sesuatu. Aku tak pernah terfikir aku akan menulis disebelah malam, ketika itu aku merasa gesaan kuat dan keadaan minda yang lapang – tetapi masih dengan pengakhiran yang sama.
Maka, apa pendekatannya Sonallah, untuk merobek keterbiasaan? Tentulah pengalamannya sendiri menjadi urat yang paling kuat. Cerita-cerita yang dilalui olehnya sepanjang pengalaman hidupnya yang ketika itu baru berusia 29 tahun. Cerita-cerita yang menggugat kekuasaan. Kerana, latarnya bukan dibuat-buat dan kegetirannya tak dapat dinafikan; kancah politik yang menganga. Kerana, fantasi dan imajinasi sembarangan bukanlah sesuatu yang berahi buat Sonallah.
Dan dia memulakan novel Bau Itu (That Smell) yang disandar terus kepada beban pengalaman dalam penjara dan pemerhatiannya terhadap masyarakat, sejak awal ketika dia berada di dalam tahanan rumah. Menulis hanya di sebelah malamnya. Siang dia merayau, malam – kerana diharamkan keluar rumah – dia duduk dan merakam pengalaman di atas kertas, berdasarkan apa saja perkara yang menarik perhatiannya dalam kembara kecil di kota Kaherah yang menurutnya tidak lagi dia kenali. Kegelisahannya terhadap penulisan sastera Mesir yang beku, dan dorongan naluri untuk tidak ingin membela lagi nilai-nilai masyarakat yang menurutnya kerap terperangkap di dalam penafian ketika berdepan realiti.
Dan, novel ‘cari gaduh’ ini memang dari awal menyusahkan orang; ketika diterbitkan pada tahun 1966, novel itu serta-merta mengundang reaksi yang tidak menyenangkan. (Walaupun mungkin ketika ini Sonallah sudah lapang dada kerana novelnya sudah terbit).
Dicetak oleh penerbitan kecil dari jalanan daerah El Zaher di kota Kaherah, novel berkenaan tak panjang hayat sebelum terus disita dan diharamkan daripada beredar. Mujur, sebelum semua itu berlaku, beberapa naskah sudah diedarkan secara peribadi oleh Sonallah, kepada kenalan-kenalan terdekat yang juga penulis dan pengkritik yang mempunyai ruangan pojok dalam akhbar-akhbar dan majalah tempatan. Tetapi, itu pun tidak menjanjikan apa-apa; novel itu dicemuh dan tidak menerima ulasan yang menarik.
Anehnya, novel kecil itu memercik api yang sekian lama kekal menjadi bara. Ia terus menjadi bayang ketakutan yang menghantui Mesir selama berpuluh tahun, walaupun tetap diterbitkan di luar negaranya sendiri tanpa dapat dibendung. That Smell hanya muncul semula di Mesir 20 tahun selepas kelahiran pra-matangnya pada 1966; juga tak lepas dengan kejutan.
Yang terselit di tengah-tengah himpunan halaman novel nipis itu ialah tentang budaya cara Mesir yang sedang kecundang ketika itu, menurut mata Sonallah. Dia bercerita tentang dirinya sendiri, menyindir dengan pedas kepura-puraan masyarakat dan pemerintahan presiden Gamal Abdel Nasser, cerita tentang gelora dan desakan syahwat manusia-manusia muda di Kaherah, yang sama seperti manusia muda di mana-mana pun, ada keinginan yang ditekan terhadap diri sendiri.
Tentulah, pokoknya ketika dia mempersoal sikap dan layanan penguasa, terutama ketika merujuk terus kepada pengalaman lima tahunnya dipenjara, hal itu tentulah tidak disenangi. Dan, disebabkan dia cenderung kepada penulis-penulis dan idea dari Soviet Union, maka cop mohor komunis pun dikenakanlah ke dahinya. Adegan-adegan seksual (yang bukanlah menjadi titik fokus novel itu) pun diangkat dan dijulang sebagai simbol dan didakwa pengaruh anasir yang akan meruntuhkan nilai-nilai bangsa yang ada di Mesir ketika itu. (Bayangkanlah kuasa sebuah novel yang kritikal dan jujur, melompat kepanasan orang-orang di kota itu.)
Pada Oktober 2003, Sonallah dihadiahkan Anugerah Majlis Tertinggi Novel Kebudayaan Arab oleh pemerintah Mesir. Dan Sonallah, sehingga hari tuanya itu tetap menyatakan sikap yang dia pertahankan selama ini, tanpa gusar. Dia menolak hadiah itu, dengan sebab bahawa dia tidak dapat menerima pengiktirafan kesusasteraan itu daripada “sebuah kerajaan yang tiada kredebiliti untuk menganugerahkannya.”
Jarang-jarang kita temui penulis dengan keteguhan pendirian seperti ini, yang dengan tindakan mudah itu, membiarkan penguasanya menjilat ludah sendiri tanpa perlu disuruh. Tindak lembut yang memalukan, jika kelompok masyarakat di sana mampu memahaminya.
Kita pula di mana?

Hafiz Hamzah ialah pendiri pustaka Obscura, penerbit buku Sekuntum Pantun & 99 Kelopak Cinta dan Bayang No. 1: 20 Fotograf Jepun.


Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

30-11-2024 12:03 AM GMT+8 , Processed in 0.034610 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list