Apa Yang Saya Lalui Tentang YahudiDisiarkan pada March 22, 2012
Semalam (21 Mac 2012) saya bermusafir dari UK ke Jordan. Saya hadir memenuhi undangan para pelajar Malaysia di sini. Ada seminar yang sedang berlangsung. Sebanyak empat sessi untuk saya. Asalnya, saya macam ‘berusaha’ untuk tidak memenuhi undangan yang datang dari pelbagai pihak sepanjang berada di Oxford kerana ingin menumpukan kepada tugasan saya.
Pelbagai jemputan khususnya dari para pelajar dan masyarakat Malaysia dari Eropah, saya masih tangguhkan. Saya pernah berkata kepada beberapa sahabat ‘rasanya jemputan yang saya dapat melebihi hari-hari yang ada’. Tapi, saya terima undangan dari Jordan, sekalipun jauh selama 5 jam penerbangan. Sedangkan saya baru sahaja selesai ibadah umrah beberapa hari lepas di Mekah.
Saya datang juga kerana di sini tempat saya belajar dahulu. Saya ingin mencium bau padang pasir dan udaranya yang telah lama saya tinggalkan. Saya ingin menikmati ‘maqlubah’,kunafah, mansaf dan lain-lain hidangan Jordan. Namun lebih penting, saya rindu ingin melihat wajah guru-guru saya. Kata orang melayu ‘tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain’.
Saya pulang dari Jordan pada 1995, setelah hampir 5 tahun berada di sini. Saya belajar ijazah pertama Bahasa Arab dan Shariah di University of Jordan. Pulang ke Malaysia ketika usia masih 20an. Kini baru saya datang semula setelah saya menjejak kaki ke atas pelbagai benua dan negara.
Jika para imam yang agung dan besar seperti al-Imam al-Syafi’i itu berubah pandangan dan pendapat setelah melalui pelbagai kembara, sudah pastilah insan yang kerdil seperti saya terdedah kepada perubahan. Namun, kesan dan pengaruh pengalaman mewarnai banyak perkara dalam hidupan.
Isu Yahudi
Di Malaysia sekarang timbul isu yahudi. Sesiapa yang pernah hidup di Jordan terutama pada era saya berada dahulu yang mana Perang Teluk memuncak, akan tahu betapa Israel dan Yahudi menjadi ‘zikir’ bicara setiap rakyat Jordan. Kedudukan Jordan yang bersempadan dengan Israel dan jumlah orang Palestin yang memenuhi pelbagai ruang di negara ini menjadikan isu Palestin sentiasa segar.
Di sinilah saya mengikuti pelbagai aktiviti yang kesemuanya ke arah pembebasan Palestin dan penghapusan yahudi. Demonstrasi, khutbah, ceramah, nasyid, syair dan segala pementasan seni dan segala berasaskan isu Palestin dan Israel. Guru-guru saya di masjid seperti as-Syeikh Dr Salah ‘Abd al-Fattah al-Khalidi, as-Syeikkh Dr Hammam Said, as-Syeikh Dr Muhammad Abu Faris dan lain-lain merupakan lambang rakyat dalam menentang Yahudi.
Di universiti juga demikian. Kawan-kawan arab ramai yang bersemangat jihad. Kadang-kadang kami ponteng kelas kerana menyertai demonstrasi anti-yahudi. Sehingga saya terfikir untuk pergi berperang di Palestin dan mati syahid di sana. Usia yang teramat muda, yang baru sahaja meninggalkan alam remaja ketika itu menjadikan segala slogan-slogan itu berkobar terbakar dalam darah dan perasaan. Apa tidaknya, nasib Palestin dan kekejaman Yahudi yang disaksikan saban hari.
Di Jordan inilah kami menghafal slogan-slogan bersemangat menentang Yahudi. Dalam demonstrasi, slogan-slogan seperti Khaibar, Khaibar Ya Yahud, Jaisyu Muhammad saufa ya’ud(Khaibar! Khaibar! wahai Yahudi! Tentera Muhammad akan kembali) berkumandang di sana sini. Lirik-lirik nasyid juga penuh dengan isu Yahudi. Kami menghafal dan mendendangkannya. Maka Yahudi isu asas di sini. Bak kata guru-guru kami; kerana Yahudi itu isu asas, maka Surah al-Isra ataupun Bani Israil itu berada paling tengah al-Quran.
Yahudi di Barat
Apabila saya melawat Berlin, Jerman pada tahun 2009, saya melihat gambaran yang lain cuba diberikan. Yahudi dilihat sebagai mangsa kekejaman Hitler. Dibuat memorial khas untuk mengenang Yahudi yang menjadi mangsa pembunuhan di Eropah. Walaupun banyak yang boleh dipersoalkan.
Apabila saya ke Oxford sekarang, saya mendapati betapa ramai penulis muslim di Barat membincangkan mengenai Yahudi di sudut ia sebagai salah satu agama tanpa isu Palestin. Maka Yahudi dilihat sebagai agama seperti agama Kristian. Emosi Palestin tidak berperanan.
Sementara di pihak sebahagian penulis dan media Barat pula menjadikan isu Israel itu sebagai asas dalam menilai seseorang tokoh muslim. Sesiapa yang tidak mengiktiraf Israel tidak akan mendapat redha Barat sekalipun dia seorang pemikir yang hebat. Sehebat mana pun ilmunya, seluas mana pun toleransi dan keterbukaannya dengan pihak yang lain, namun jika dia tidak mengiktiraf Israel, maka dia tidak akan digolongkan dalam ‘moderate muslim’. Ini persis seperti yang disebut oleh Louay Safi dalam artikelnya Reflection on Ijtihad and Moderate Islam, kata beliau: