SEREMBAN - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah berjaya melahirkan lebih 7,000 usahawan muda di seluruh negara setakat ini. Pengerusi Fama, Tan Sri Badruddin Amiruldin berkata, kebanyakan usahawan yang terlibat dalam program pembangunan usahawan di bawah bimbingan Fama, bergiat dalam bidang industri asas tani. "Penglibatan anak-anak muda dalam industri asas tani dapat memberikan pelbagai manfaat kepada mereka khususnya peluang bagi memasarkan produk yang dihasilkan ke persada antarabangsa," katanya.
Selain itu, katanya, program Kelab Usahawan Graduan Pertanian (MyAgrosis) ditubuhkan di seluruh institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sejak 2011 dapat membimbing dan menyuntik semangat budaya niaga dalam kalangan golongan anak muda di peringkat universiti. "Sehingga kini, jumlah keseluruhan ahli MyAgrosis ialah seramai 14,632 orang di seluruh negara," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Karnival Agropreneur Muda Industri Asas Tani peringkat negeri 2014 di sini hari ini. - Bernama
|