CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 17663|Reply: 6

Istilah-istilah ‘Susu’ di Malaysia

[Copy link]
Post time 10-12-2014 08:44 PM | Show all posts |Read mode
by Joy Kalonas
Ketahui definisi mereka
Tidak dinafikan, terdapat begitu banyak istilah-istilah susu yang digunakan di Malaysia, ada  yang betul penggunaannya dan ada pula yang mengelirukan. Jika suatu ketika dahulu saya pernah mengupas topik berkenaan jenis-jenissusu yang sesuai dengan keperluan anda, entri kali ini lebih kepada mengupas istilah-istilah susu (jenis susu) yang biasanya digunakan oleh rakyat Malaysia dalam kehidupan seharian secara umum.
1. Susu Segar – Susu yang datang secara terus dari haiwan ternakan (lembu, kerbau atau kambing). Susu ini mengandungi hampir 99.9% khasiat susu sebenar. Susu ini biasanya boleh dibeli terus dari ladang atau menerusi orang persendirian (penternak lembu atau kambing). Biasanya agak sukar dicari di kawasan bandar.
2. Susu Segar (kotak, disejukkan) – Sama seperti di atas, bezanya susu ini telah melalui satu proses di kilang yang dikenali sebagai pempasteuran (pasteurization). Tujuan pempasteuran adalah untuk memastikan bakteria yang ada dalam susu segar (yang mana masuk ketika susu diperah dan ketika transmisinya ke pusat pengumpulan) dibunuh justeru boleh disimpan lebih lama dalam suhu sejuk 3o hingga 4o C untuk tujuan komersil.
Bakteria sememangnya cepat berkembang dalam medium seperti susu segar (cepat basi) memandangkan susu adalah makanan yang bernutrisi tinggi. Dari segi nutrisi pula, susu segar kotak tidak mengandungi 99.9% khasiat seperti susu segar sebenar memandangkan sebahagian kandungan vitamin dan mineralnya sudah musnah atau hilang sepanjang proses pempasturan (rujuk jadual di bawah).
Di pasaraya, susu segar ini biasanya ditempatkan pada ruang tempat sejuk.
3. Susu Segar (kotak, UHT) – Susu segar ini di rawat pada suhu tidak kurang daripada 135oC (suhu Ultra Tinggi) sekurang-kurangnya selama 2 saat, dan seterusnya dipek secara aseptik ke dalam bekas yang steril. Dari segi nutrisi, susu segar UHT mempunyai kandungan nutrisi yang kurang berbanding susu segar yang dipasteurkan, apatah lagi susu segar yang datang terus dari ladang. Sebahagian besar kandungan vitamin dan mineralnya sudah terjejas setelah melalui suhu Ultra Tinggi.
Di pasaraya, susu segar jenis ini biasanya ditempatkan pada ruangan rak biasa (bukan tempat sejuk).
4. Susu Segar berperisa – Susu segar yang mana telah dicampurkan dengan gula, bahan perisa, bahan pewama dan penstabil makanan yang dibenarkan. Susu ini boleh jadi dipasteur, disteril atau dirawat pada suhu ultra tinggi. Contoh yang biasa diperolehi di Malaysia adalah susu yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar.
5. Susu Campuran semula (berperisa) – Susu yang telah dihasilkan dengan mencampurkan semula pepejal susu (biasanya tanpa lemak) dengan lemak susu dan kemudian dicampurkan dengan gula, bahan perisa, bahan pewama dan penstabil makanan yang dibenarkan, seterusnya dirawat secara pempasteuran, pensterilan atau suhu ultra tinggi. Contoh produk ini adalah susu kotak UHT Dutch Lady atau Marigold berperisa coklat, strawberry dan jagung yang biasanya suka diminum oleh kanak-kanak dan remaja.
Susu rendah lemak (Low Fat) atau penuh krim (Fullcream) UHT seperti Marigold dan Dutch Lady juga merupakan susu campuran semula. Bezanya cuma ia tidak disertakan pewarna, perisa dan gula.
6. Susu Sejat - Susu segar yang mana telah disejatkan kandungan airnya supaya lebih “pekat” dari segi kandungan nutrisi. Hal ini dilakukan supaya memudahkan penyimpanan dan keperluan logistik pada zaman dahulu (memanipulasi isipadu susu segar – keperluan menukarkan susu segar menjadi susu sejat adalah supaya lebih banyak susu yang dapat dibawa/dieksport oleh sesebuah kapal), justeru susu sejat ni sebenarnya adalah susu segar, khasiatnya hampir sama seperti susu segar.
Pada hari ini, ramai yang salah anggap dan keliru di antara istilah “Susu Sejat”, “Susu Isian Sejat” dan “Krimer Sejat”. Kebanyakan yang dijual di Malaysia dan digunakan di kedai makan adalah Krimer Sejat atau Susu Isian Sejat dan bukannya Susu Sejat. Produk Susu Sejat yang dijual di pasaran juga tidak banyak. Antaranya adalah Ideal dan Carnation keluaran Nestle.
Susu Sejat yang dijual pada hari ini juga mempunyai satu lagi varian, iaitu “Susu Sejat Penuh Krim”. Mungkin ada yang bertanya, apakah perbezaan di antara ke empat-empat jenis produk “Sejat” ini? Berikut disimpulkan perbezaan mereka secara asas:
  • Susu Sejat – seperti yang diberitahu sebentar tadi, asalnya ia adalah susu segar yang telah disejatkan kandungan airnya.
  • Susu Sejat Penuh Krim – Susu Sejat versi ‘campuran semula’, yakni campuran di antara pepejal susu dan lemak susu.
  • Susu Isian Sejat – perkataan ‘isian’ di sini sudah cukup memberitahu bahawa lemak susu telah digantikan dengan lemak tumbuhan; maka ia adalah campuran di antara pepejal susu dan lemak tumbuhan (biasanya sawit).
  • Krimer Sejat – sama seperti Susu Isian Sejat, cuma barangkali peratus pepejal susunya tidak banyak seperti Susu Isian, atau peratus lemak tumbuhan yang digunakan lebih tinggi, justeru pengeluar melabelnya sebagai “Krimer”.
Ke empat-empat jenis produk “sejat” di atas telah disusun mengikut kualiti mereka, dari yang paling menghampiri susu segar hinggalah kepada yang menjauhinya. Ini terbukti dari segi harga mereka sendiri, Susu Sejat adalah jenis yang paling mahal harganya manakala Krimer Sejat adalah yang paling murah di pasaran.
7. Susu Skim (cecair) - Juga dikenali sebagai susu tanpa lemak, ia adalah susu segar yang mana lemaknya telah dipisahkan dan dikurangkan kepada tidak kurang daripada 0.5 peratus. Biasanya susu skim cecair ini melalui proses pempasteuran dan boleh didapati di ruangan sejuk di pasaraya. Antara contoh produk adalah Susu Skim F&N Magnolia. Dalam kes Susu Skim F&N Magnolia, ia juga termasuk antara susu campuran semula (pepejal susu tanpa lemak + susu segar).
8. Susu Skim (tepung) - Susu segar yang mana kandungan airnya telah dikeluarkan dan mengandungi tidak lebih daripada 3 peratus air dan mempunyai kandungan lemak tidak lebih daripada 1.5 peratus. Antara 2 jenis produk yang ada di Malaysia adalah Susu Skim Sunlac dan Susu Skim ‘Tesco Light Choice’.
9. Susu Tepung Campuran Semula – Susu yang telah dihasilkan dengan mencampurkan semula pepejal susu (atau susu skim) dengan pepejal lemak (susu) dan bahan-bahan lain. Biasanya susu tepung rendah lemakmenggunakan proses campuran semula seperti ini. Antara jenama yang biasa diperolehi di Malaysia adalah susu tepung Anlene (campuran semula susu skim dan susu penuh krim) dan Nestle Omega Plus (campuran semula susu skim dan lemak tumbuhan, justeru ia juga boleh dirujuk sebagai ‘susu tepung isian’) (rujuk senarai ramuan). Ini yang membezakan antara susu tepung rendah lemak dari susu tepung skim.
10. Susu Tepung Penuh Krim - susu yang mana kandungan airnya telah dikeluarkan, dan mengandungi tidak kurang daripada 5 peratus air dan 26 peratus lemak. Susu ini juga tergolong di antara ‘susu tepung campuran semula’ (kandungan lemak dipertingkatkan supaya lebih krim rasanya). Susu tepung seperti ini memang banyak dijual di Malaysia, antaranya menerusi jenama Dutch Lady, Fernleaf, Nespray (Nestle) dan Dairy Champ.
11. Susu Isian – varian susu yang seakan menyerupai susu, bezanya lemak susunya telah diganti keseluruhan atau sebahagiannya dengan minyak atau lemak tumbuhan (sayuran). Ada beberapa jenis susu isian, antaranya susu tepung (contoh: Susu Tepung Dutch Lady 6+ seperti gambar di bawah, dan beberapa jenama Susu Penuh Krim yang lain). Jika yang bukan tepung pula biasanya dalam bentuk “Pekat” atau “Sejat”. Antara contoh yang ada di Malaysia adalah Susu Isian Pekat Manis atau Susu Isian Sejat.
****#*#****
Yang disangkakan susu, tapi sebenarnya bukan susu….
1. Krimer Sejat – Ramai menyangkakan ia adalah “Susu Sejat” sebaliknya bukan, kedua-duanya adalah berbeza dari segi kandungannya. Boleh baca perbezaan antara mereka pada nota no.6 di atas (Susu Sejat).
2. Krimer Pekat Manis – Ramai menyangkakan ia adalah “Susu Isian” disebabkan ia berwarna putih, sebaliknya sama seperti kes Susu Sejat tadi, bukan semua jenama adalah benar-benar “Susu Isian”. Meskipun majoriti jenama di Malaysia masih menggunakan pepejal susu, barangkali peratus pepejal susunya tidak sebanyak seperti Susu Isian Pekat, atau peratus lemak tumbuhan yang digunakan lebih tinggi, justeru pengeluar melabelnya sebagai “Krimer”. Tambahan lagi, majoriti kandungannya juga terdiri dari gula (sukrosa).
Lambakan penggunaan Krimer pekat manis pada hari ini juga sering dikaitkan secara tidak rasmi dengan peningkatan statistik obesiti dan pesakit kencing manis (Diabetes) jenis 2 di Malaysia dari tahun ke tahun.
3. Krimer bukan tenusu (non-dairy) – Salah satu kategori krimer yang mana tiada langsung kandungan susu di dalamnya; ia adalah 100% berasaskan lemak tumbuhan. Antara contoh produk yang paling biasa di lihat adalah Coffee-mate.
Setakat ini, semua pengeluar produk menulis jenis ‘susu’ (atau hanya sekadar krimer) pada label produk keluaran mereka. Pilihan dan belian kini hanya terletak pada pengguna, adalah tanggungjawab mereka untuk mengetahui info/definisi setiap jenis susu (atau hanya susu pada persepsi, hakikatnya hanya krimer) dan meneliti dahulu label dan senarai ramuan sebelum membeli apa-apa produk.
Komen SS: Menurut beberapa pendapat dari dunia fitness barat,lemak/minyak tumbuhan yang telah diproses dan menjadi sebahagian dari bahan makanan proses adalah tidak bagus untuk kesihatan jantung. Ini kerana sifat lemak tumbuhan (tidak tepu) berbeza dengan sifat lemak tepu haiwan (seperti lemak susu); sifat lemak tidak tepu dari tumbuhan adalah ‘rancid‘ dan mudah di-hidrogenkan agar strukturnya stabil seakan-akan lemak tepu. Penukaran struktur lemak tak tepu secara ini kadang kalanya tidak sempurna. Contoh ketidaksempurnaan yang paling hangat dibincangkan pada hari ini adalah lemak trans, yang mana mempunyai korelasi negatif dengan kesihatan jantung. Lemak tumbuhan seeloknya diambil secara terus dari sumber semulajadi seperti sumber kekacang dan santan.
Tatkala beberapa kategori susu di atas melibatkan penggunaan lemak tumbuhan (minyak sayuran), berkemungkinan pendapat tersebut perlu dipertimbangkan jika anda ingin mengambil langkah berjaga-jaga, menjaga kesihatan jantung untuk jangka masa panjang. Apa-apa pun, pilihan terletak di tangan anda.
Komen pilihan di page FB Susu Sejat.



Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 12-12-2014 05:41 PM | Show all posts
susu cap gntung
Reply

Use magic Report

Post time 15-12-2014 12:01 AM From the mobile phone | Show all posts
Wah byk nye,tak habis habis
Reply

Use magic Report

Post time 15-12-2014 11:28 AM | Show all posts
I love milk!
Reply

Use magic Report

Post time 17-12-2014 11:39 AM | Show all posts
lazim posted on 12-12-2014 05:41 PM
susu cap gntung

Tak ada gambar ke?

Reply

Use magic Report

Post time 17-12-2014 07:41 PM | Show all posts
wahh..banyaknye info tentang susu nie..huhuu
Reply

Use magic Report

Follow Us
Post time 1-8-2023 11:27 PM | Show all posts
[AceHand SPECTaceLAR]

Susu sejat ngan susu Sajat tu hada beza tak...?


Jizzz... Klong! Klong!

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

Category: Lawak & Santai


ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

29-11-2024 05:48 AM GMT+8 , Processed in 0.284622 second(s), 19 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list