|
KUALA LUMPUR 12 Dis. - Kesan racun daripada rumpai miang Mexico yang sedang merebak di beberapa buah negeri ketika ini boleh menyebabkan jangkitan lebih buruk kepada manusia. Dekan Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Abdul Shukor Juraimi (gambar) berkata, walaupun tiada rekod dilaporkan tentang kesan secara terus tumbuhan liar itu yang menyebabkan kematian, racunnya mampu menyebabkan manusia maut melalui jangkitan sampingan jika tidak dirawat segera.
Katanya, justeru itu, ibu bapa dinasihatkan agar memantau pergerakan anak-anak mereka supaya tidak mendekati kawasan semak-samun yang berisiko ditumbuhi rumpai tersebut.
“Lazimnya kesan yang ketara adalah gatal serta alahan teruk sehingga menjadi luka di permukaan kulit dan jika mangsa tidak mendapat rawatan segera, mereka berisiko terdedah kepada jangkitan lain yang boleh membawa kematian. “Kanak-kanak atau orang tua yang lemah juga amat mudah terkena kesan racun rumpai ini, jadi mereka perlu elak ke kawasan semak-samun serta kawasan pertanian di kampung-kampung yang menjadi habitat tumbuhan ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Kementerian Kesihatan kelmarin memberi amaran agar orang ramai menjauhi rumpai miang Mexico atau parthenium hysterophorua yang beracun selepas dikesan tersebar di beberapa buah negeri sejak beberapa hari lalu. Dalam pada itu, Abdul Shukor juga meminta orang ramai tidak menyentuh tumbuhan yang bukan biasa dilihat di persekitaran mereka agar tidak terdedah dengan sebarang bahaya.
“Jika mereka menjumpai rumpai miang ini di sekitar kawasan mereka, saya minta mereka menghubungi Jabatan Pertanian agar tumbuhan itu dimusnahkan segera,” katanya.
- Utusan Melayu @ Sabtu, 13 Disember 2014 -
|
|