Agamaku membosankan di rumah ibadat – Shamiel Fikri Ishak Published: 2 January 2015
Hari ini Jumaat buat umat Islam, hari penuh keberkatan. Umat Islam berkumpul di tiap masjid dan surau. Mendengar khutbah, membentuk gaya fikir sebagai umat terhebat. Hari ini adalah hari umat Islam yang dibentuk sejak zaman kenabian Nabi Muhammad SAW lagi. Hari umat Islam mendapat inspirasi dan dibina kekuatan mereka melalui khutbah Jumaat. Menyelami dan menyedari isu-isu semasa dan kemanusiaan seluruh dunia. Sehingga kini, khutbah terakhir Nabi SAW diingati sebagai khutbah yang membentuk masyarakat. Menegakkan keadilan. Mengangkat kesamarataan. Khutbah itu adalah pencetus kekuatan umat Islam. Namun, keterampilan umat itu hanyalah sejarah lama. Ayuh, kita selami kisah sebenar. Realiti dan hakikat umat Islam hari ini. Di hari Jumaat, rumah ibadat ibarat tempat rehat. Hari Jumaat ibarat menceritakan semuanya. Di rumah ibadat, agamaku ibarat instrumen yang membosankan. Sehingga umatku lebih lena diulit mimpi siang, berbanding mendengar kandungan khutbah jumaat itu. Umatku jatuh tersungkur tidur dalam saf yang tersusun. Berdengkur nyata lebih nikmat daripada kandungan khutbah 'Tok Khatib' di mimbar. Di rumah ibadat, agama ibarat instrumen yang membosankan. Pihak-pihak masjid tidak kisah akan kandungan khutbah. Cukup ada teks, cukup ada khatib yang membacanya, cukup-tabung masjid diedarkan, selesailah tugas mereka. Kandungan khutbah tak diambil kisah. Lalu masjidku ibarat kilang, umatku ibarat robot, melalui hari Jumaat yang lesu. Di rumah ibadat, agama ibarat instrumen yang membosankankan. Umat Islam berbondong-bondong masuk ke masjid. Mendengar khutbah yang dibaca di teks dengan kaku. Entah “Tok Khatib” sendiri faham atau tidak apa yang dibacanya. Yang berbondong datang separuh daripadanya tertewas bosan. Di rumah ibadat, agama ibarat instrumen yang membosankankan. Namun, tidak di arena politik. Dalam politik, agama itu sangat menghairahkan. Di Perlembagaan, agama Islam diletak tinggi tempatnya di persekutuan. Bila timbul isu kalimah Allah, umat Islam yang jadi juaranya. Dalam perundangan, agama itu sangat menghairahkan. Bila timbul isu perundangan, umat Islam jua yang lantang suaranya. Mahu tegakkan hudud, ingin tubuhkan negara Islam. Dalam kewangan, agama itu sangat menghairahkan. Bila tiba bulan Ramadhan, bersusun-susun kaunter kutipan zakat. Tersusun sekali perlaksanaannya. Iklan-iklan zakat dihebahkan. Selain proses agihannya, proses selebihnya sempurna. Hari ini hari Jumaat. Mungkin kita lupa, hari Jumaat adalah gambaran sebenar umat Islam kita. Islam instrumen politik? Umat Islam menolak sekular yang memisahkan Islam daripada pentadbiran dan politik. Tapi nampaknya, hari ini umat Islam mengangkat sekular, yang menjadikan Islam hanya menghairahkan di arena politik, tapi membosankan di masjid-masjid dan surau. Lihat keadaan umat hari ini bila kita bicara soal hudud. Jangan salahkan umat lain bila hudud yang dibawa gagal diterima, sedang mendengar khutbah sahaja kita tidur. Lihat keadaan umat hari ini bila kita bicara soal kalimah Allah. Apakah Allah bangga kalimah dan namanya dimiliki oleh umat yang tidur? Lihat keadaan umat hari ini bila bicara soal kewangan dan ekonomi. Jangan salahkan manusia yang lebih suka melabur di bursa saham, dan bank-bank konvensional, berbanding membayar zakat di masjid. Institusi zakat di masjid boleh jadi lebih korup berbanding institusi riba dan rasuah. Tulisan ini sangat menyedihkan. Khutbah Jumaat umatku sepatutnya memberi inspirasi. Agamaku sepatutnya dijadikan solusi kehidupan. Bukan sebagai mainan politikus memenangi isu meraih undi. Tulisan ini percaya, umatku sepatutnya hebat tidak sebegitu! Sayang sekali, andai hari Jumaat ini, umatku masih tidur. Sayang sekali, andai sujud kita setiap hari hanya buat-buatan. Sayang andai agama kita hari ini hanya ikut-ikutan. Lebih sayang, andai ia hanya catur politik semata-mata. – 2 Januari, 2015. * Penulis adalah pelajar Kuliah Undang-Undang UIAM.
|