Xiaomi Mi Note ialah phablet yang dilancarkan Januari lalu. Phablet dengan skrin 5.7″ FHD dan pemproses 2.7 GHz Snapdragon 801 ini hanya dijangka memasuki pasaran tempatan pada suku kedua 2015. Hari ini Xiaomi mengumumkan mereka akan menghasilkan Xiaomi Mi Note Natural Bambook Edition untuk phablet terkini mereka. Panel belakang yang diperbuat daripada kaca digantikan dengan panel yang diperbuat sepenuhnya daripada buluh. Harga jualan masih dikekalkan pada 2299 Yuan. Selain panel buluh, peranti ini juga lebih ringan berbanding edisi biasa. Ianya akan mula dijual di pasaran China pada 24 Mac hadapan. Tiada maklumat sama ada versi buluh untuk Xiaomi Redmi Note Pro akan dihasilkan buat masa ini.
Versi manakah yang lebih menarik pada pendapat anda? Keputusan Xiaomi untuk menjual edisi khas pada harga yang sama dengan edisi biasa peranti ini kami rasakan adalah unik. Pengeluar lain biasanya akan menjual versi khas peranti mereka pada harga yang lebih mahal. Ini dapat dilihat pada Motorola Moto X yang turut memberikan pilihan panel buluh dengan harga jualan ditambah $100 berbanding edisi biasa.