Tepat jam 12 tengah malam tadi menandakan pembukaan bulan baru iaitu 1 Disember 2016 yang merupakan ulang tahun ke-14 Allahyarham Rezaiman Keifli, anak kepada bekas penyanyi kumpulan Elite, Linda Rafar.
Siapa yang tidak sedih dengan menjelangnya hari ulang tahun kelahiran anak yang telah meninggalkan dunia fana ini.
Begitu juga dengan Linda. Sebagai ibu, sudah pasti kehilangan Rezaiman atau lebih mesra dengan panggilan Memen masih dirasainya walau sudah tiga tahun Allahyarham meninggalkan dunia ini.
Malam semalam, Linda memuat naik sekeping gambar berserta kapsyen menyentuh hati.
"Tepat pukul 12 malam ini, lahirlah seorang anak syurga bernama Rezaimen keiflin 1/12/2002. HappyBdaySyg yg ke-14yrs old.
"Rasa macam baru semalam ma bagi susu dan tidurkan memen. Rupanya hampir 3 tahun men tinggalkan ma dan famili. Mama harap sangat men tenang di sana bersama pencipta. Anak syurga yang sangat dirindui oleh kawan-kawan, guru, famili dan followers semua," tulisnya.
Dalam masa sama, Linda sempat memohon pada pengikutnya di IG supaya menyedekahkan surah Al-Fatihah atau Yasin kepada arwah.
Pengikut yang membaca coretan itu turut merasakan kesedihan Linda dan foto itu mendapat lebih 2,000 likes dan hampir 200 komen pada masa artikel ditulis.
Sumber foto: IG Linda Rafar
Marilah sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah kepada arwah Memen. Semoga dia ditempatkan di kalangan orang beriman. - CARI |