|
Sebagai bapa, Amar Asyraf begitu hairan kenapa anaknya sering menjadi perhatian terutama sekali bila didedahkan pada orang ramai.
Tidak kurang juga ada pihak yang cuba mendekati anaknya, Amar Taufiq, 4, untuk bergambar dan bergaul mesra. Amar sendiri jarang mendedahkan gambar anaknya di media sosial.
"Biarpun usia masih muda, saya sengaja hantar dia bersekolah sebagai pendedahan awal. Saya sebenarnya hairan juga dengan Taufiq kerana sentiasa mendapat perhatian ke mana-mana.
"Malah, sesekali ia mencetuskan kebimbangan juga kalau berlaku perkara tak elok. Lagipun saya dan isteri jarang keluarkan gambar Taufiq di laman sosial kami.
"Orang pun tak tahu Taufiq anak saya tapi setiap kali keluar berjalan, mereka pasti akan ambil peluang bergambar dengannya,"katanya kepada Harian Metro.
Dia juga menceritakan pengalaman ketika mengerjakan umrah apabila ada orang yang tidak dikenali tiba-tiba sahaja mahu bergambar dengan anaknya. Perkara itu juga berlaku disini ketika isterinya membawa anaknya itu berjalan.
"Kami jadi takut pula dengan perkara ini. Di Malaysia pun situasi sama juga dilalui apabila isteri membawa Taufiq keluar berdua, ada banyak pihak yang nak ambil gambar dia.
"Mereka langsung tak tahu itu anak saya. Saya bimbang kalau ada berniat tak baik. Kami masih lagi membawanya ke khalayak ramai tapi akan sentiasa berhati-hati mengikuti setiap langkah Taufiq," katanya.
Foto: IG Amar Asyraf
Melihat anak tunggalnya itu yang sudah membesar, dia berhasrat untuk menambah bilangan anak dan sudah pun bersedia bersama isteri.
"Memang isteri saya merancang dapat anak kedua kerana nak memerhatikan perkembangan Taufiq. Saya pula sudah enam bulan teringinkan anak perempuan.
"Sebelum ini, isteri kata nak tengok Taufiq bersekolah dan pandai sesuaikan diri. Apabila semuanya dah okay, barulah dia bersedia untuk mengandung.
"Isteri pun sudah tahu selok belok Taufiq bersekolah dan apa yang perlu diuruskan. Sekarang kami boleh teruskan hasrat untuk dapat anak lagi," katanya.
Lain macam pula penangan anak Amar yang lebih popular darinya. Macam ada 'sesuatu' pada anaknya itu. Mungkin kecomelannya agaknya. - CARI
|
|