Kredit Foto: FB Dan Wherley
Dan Wherley dan anak perempuannya Layla, 7 tahun sedang berkayak di Adam County, Pennsylvania Ahad lalu apabila tiba-tiba seekor memerang (beaver) menyerang mereka. Wherley berkongsi cerita dan detik cemas di Facebooknya (FB Dan Wherley) termasuk sebuah video pendek yang sempat dirakamnya.
Kredit Foto: CBS News
Wherley berkata dia, anaknya dan seekor anjingnya sedang berkayak di sebatang sungai apabila tiba-tiba dia merasakan 'sesuatu' menggigit kayaknya. Wherley menyangka ia adalah anjingnya sehinggalah seekor memerang tiba-tiba muncul dari dasar sungai dan cuba menyerangnya.
Wherley memukul memerang itu dengan pengayuhnya. Kerana kesakitan, memerang itu berenang ke arah Layla pula. "Saya menjerit kepada Layla dan menyuruhnya naik ke tebing sungai tetapi sebelum sempat Layla bergerak, memerang itu cuba menggigit kayaknya pula."
Kredit Foto: FB Dan Wherley
Wherley berkata dia bergegas membantu anaknya dan cuba menumbuk, menendang dan memukul haiwan itu tetapi ia membalas balik. Menyedari Layla berjaya naik ke tebing, memerang itu cuba mengejarnya.
"Saya memukulnya dengan batu tetapi ia masih cuba melawan," kata Wherley lagi. Akhirnya Wherley menggapai sebatang kayu besar dan memukul haiwan itu sehingga kepalanya pecah.
Kredit Foto: FFB Dan Wherley
Wherley melaporkan kepada pihak berwajib dan Jabatan Kesihatan Pennsylvania berkaitan kejadian itu dan dia dinasihatkan untuk mendapatkan suntikan rabies apabila pemeriksaan terhadap bangkai haiwan itu menunjukkan tanda positif.
Rabies atau penyakit anjing gila ialah penyakit berbahaya yang menyerang system saraf dan otak serta boleh membawa maut jika tidak dirawat.
Kredit Foto: FB Dan Wherley
Wherley berkongsi video dan gambar-gambar bangkai memerang itu di Facebooknya yang kini menjadi viral. 'Saya bersyukur kerana kami selamat' katanya. - CARI |