Gambar hiasan. Kredit foto: Carian Google
PAS meminta kerajaan agar segera bertindak terhadap pemilik akaun Facebook bernama Foo Sing Wai yang mencetuskan kemarahan umat Islam di negara ini baru-baru ini kerana memaparkan karikatur yang menghina Nabi Muhammad SAW dan isteri baginda.
Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan berkata, kegagalan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap Foo akan menyebabkan rakyat bangkit dalam satu himpunan raksasa.
Memetik kenyataan dalam laman Facebook beliau pada 25 Februari, PAS juga sangat kesal dan terkilan dengan tindakan pihak berkuasa membebaskan suspek sehingga menimbulkan persoalan yang besar kerana sebanyak 395 laporan polis dibuat di seluruh negara terhadap Foo.
"Dia disiasat di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Dia hanya direman selama tiga hari kemudian dibebaskan dengan jaminan polis," kata Nasrudin lagi.
Nasrudin Hassan. Kredit foto: Facebook
Sebagai perbandingan, beliau menjelaskan, seorang wanita disiasat di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana menghina Nabi Muhammad SAW tahun lalu.
Katanya, wanita berkenaan telah dihukum penjara enam bulan dan dikenakan denda berjumlah RM15,000.
Justeru, Nasrudin berkata, PAS meminta pihak yang bertanggungjawab memberi penjelasan terhadap isu tersebut bagi mengurangkan keresahan umat Islam.
Beliau juga berpandangan, individu biadab tersebut perlu dikenakan hukuman berat kerana penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW dan isteri baginda tidak dimaafkan oleh umat Islam di negara ini.
Foo Sing Wai. Kredit foto: Facebook
Lebih membimbangkan, katanya, kegagalan kerajaan bertindak tegas dalam menjaga kepentingan Islam dan sensitiviti penganutnya boleh menyebabkan individu yang menghina agama tersebut menjadi semakin berani dan nekad.
Memang wajar kesucian Islam sebagai agama Persekutuan sentiasa dijaga demi memelihara keharmonian rakyat berbilang kaum dan agama di Malaysia. - CARI
|