Hubungan tegang dua beradik, Azwan Ali dan Azmin Ali sememangnya sudah diketahui umum. Bagaimanapun, baru-baru ini, Azwan Ali atau lebih dikenali sebagai Diva AA menyatakan hasratnya untuk berbaik dengan abang kandungnya itu setelah sekian lama bermasam muka.
Hasratnya itu disampaikan melalui mStar ketika temubual eksklusif bersama Diva AA.
Menerusi laporan mStar, Diva AA mengatakan yang dia seringkali mendapat soalan daripada peminat yang mahu melihat kedua beradik itu berbaik sehingga terdetik rasa mahu memperbaiki hubungan kekeluargaan mereka.
"Di hari baik bulan baik ni, saya fikir kenapa tidak untuk berbaik dengan dia. Kalau dia baca artikel ini, saya nak cakap; Min (merujuk kepada Azmin) selama ini aku banyak buat salah, buat dosa pada kau. Aku minta ampun, minta maaf pada kau Min," ujar Diva AA memetik laporan Mstar.
Tambah Diva AA, terlalu banyak yang dilalui oleh mereka adik-beradik yang telah menjadikan dia seorang yang keras hati.
"Saya akui banyak berbuat dosa dengan dia. Sebagai adik, saya yang sepatutnya beralah nak memohon maaf daripadanya," kata Diva AA dengan merendah diri dan berharap agar hasratnya itu akan sampai kepada Azmin.
Diva AA turut menegaskan yang dia ikhlas mahu berbaik dengan abangnya dan bukannya kerana politik kerana dia sedar air yang dicincang tidak akan putus.
"Sebab bila saya fikir sampai bila nak berakhirnya macam ni. Walaupun kami berbeza pendapat, tapi adik-beradik kan.. ibarat air yang dicincang tak akan putus," ujarnya lagi.
Bagaimanapun, Diva AA berharap agar orang ramai memberikan mereka masa dan tidak mengecamnya dan sebaliknya mendoakan yang terbaik.
Kredit foto : Carian Google
Diva AA juga tidak menolak untuk bertemu abangnya itu sekembalinya ke tanah air suatu hari kelak.
"Sekiranya saya pulang ke Malaysia dan ketika itu Allah lembutkan hati dia (Azmin) untuk berjumpa dengan saya, sudah tentu saya sedia dengan hati yang terbuka," kata Diva AA yang kini berhijrah ke Kota London semenjak Februari yang lalu.
Apa pun, sama-sama kita doakan agar hubungan kedua beradik itu kembali pulih. -CARI |